JOHOR BAHRU 4 Dis. - Hujan lebat tidak menghalang kira-kira 10,000 peminat menyaksikan Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Stadium Larkin, di sini malam tadi.
Walaupun pekarangan dan tapak konsert digenangi air tetapi peminat daripada pelbagai peringkat usia termasuk dari Singapura tidak berganjak menyaksikan legenda rock itu beraksi hampir dua jam setengah yang bermula pukul 9 malam.
Konsert sempena 30 tahun penubuhan Search itu menampilkan sistem bunyi dan pencahayaan yang memuaskan selain skrin gergasi dan semburan api depan pentas ketika beraksi.
Persembahan di bandar raya ini amat bermakna kerana semua anggota Search berasal dari Johor Bahru dan konsert itu merupakan yang kedua sempena meraikan penubuhan mereka selepas beraksi di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, 19 November lalu.
Pada sidang akhbar selepas konsert itu, penyanyi Search, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, 53, melahirkan kesyukuran kerana konsert tersebut berjalan lancar tanpa masalah teknikal.
"Walaupun hari hujan, tidak ada sebarang masalah, apa yang paling kita takut kalau lampu meletup macam yang berlaku di Pulau Pinang dalam konsert sebelum ini.
"Bagi konsert sambutan ulang tahun Search selepas ini di Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor pada 17 Disember ini kita akan mengundang Datuk M. Nasir sebagai tetamu khas untuk menyanyikan dua buah lagu," katanya.
Sementara itu, tiket konsert di Padang Astaka berharga RM69 dan setiap penonton akan menerima sehelai baju-T eksklusif sebagai cenderamata dan bagi yang bernasib akan memenangi cabutan bertuah berupa kereta Perodua Viva 660 BXA sumbangan penganjur, Oracle Accord.
Tiket-tiket boleh didapati di pintu masuk atau di cawangan Petronas yang mengambil bahagian, Rock Corners dan wakil jualan sah yang tersenarai di http://www.tickethotline.com.my atau peminat juga boleh melayari laman rasmi konsert di https://www.facebook.com/SEARCH.