Monday, December 5, 2011

Bukan faktor popular nak Layak ke AJL - Azhar Borhan


MELIHATKAN senarai lagu yang layak ke AJL26, pasti ramai bersetuju bahawa kebanyakannya merupakan lagu yang popular di corong radio. Ini termasuklah lagu Cinta Muka Buku nyanyian Najwa Latif yang popular dalam kalangan peminat, tetapi dikatakan tidak mempunyai kekuatan.

Bagaimanapun, Ketua Juri Separuh Akhir Muzik Muzik 26, Azhar Borhan menepis dakwaan bahawa pemilihan dua belas lagu tersebut adalah berdasarkan populariti.

“Saya sendiri secara peribadinya tidak pernah mendengar separuh daripada lagu terpilih sebelum ini, maka susah hendak dapat gambaran lagu mana yang popular.

“Malah, kesemua juri yang terlibat tidak pernah mengadakan perbincangan sesama sendiri dan kami membuat penilaian berdasarkan kekuatan lagu itu sendiri bukan populariti,” katanya.

Menjawab pertikaian mengenai kriteria yang melayakkan Cinta Muka Buku ke AJL 26, Azhar berkata, kekuatan lagu itu terletak pada melodi dan liriknya yang ringkas dan catchy.

“Mungkin bagi orang lain, lagu ini sangat ringkas tetapi itulah kekuatan sebenarnya. Selain itu, kesemua juri juga bersepakat bahawa Cinta Muka Buku berjaya menonjolkan sesuatu yang ‘segar’,” katanya.

Selain Azhar, juri lain adalah Prof Madya Dr Lim Swee Tim, Azlan Abu Hassan, Yassin dan Hazami. Bagi Najwa sendiri, lagu yang mendapat sentuhan lirik kakaknya sendiri, Ika Latif, memang dicipta ringkas agar senang dinyanyikan bersama peminat.

“Jika ada yang tidak berpuas hati, saya tidak mampu menghalang. Lagipun, keputusan ini ditentukan juri profesional. “Walaupun kedengaran mudah, saya sendiri adakalanya sukar membawakan lagu ini. Sebagai pendatang baru, saya bersyukur dapat ke final dan akan buat yang terbaik,” katanya.