Thursday, November 24, 2011

"Saya Malu kat Yuna, Tidak Beri Pun Tak Mengapa" - Anuar Zain


Berbeza dengan Yuna, pelantun lagu ‘Sedetik Lebih’, Anuar Zain mengakui kesilapan yang berlaku cukup memalukan dirinya. Jelas Anuar, walaupun dia menerima keputusan itu, tetapi dia sebenarnya tidak tahu bagaimana cara hendak berhadapan dengan Yuna, Edry, peminat dan juga diri sendiri.

“Saya sudah menerima keputusan AIM tempoh hari. Apabila diberitahu ada kesilapan dan mereka (Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM)) mahu berikan anugerah Lagu Terbaik itu kepada saya, saya berasa sedikit pelik. Saya tidak tahu bagaimana hendak hadapi Yuna, Edry, peminat dan juga diri sendiri. Saya rasa tidak payah bagi pun tidak apa. Ini memang menjejaskan kredibiliti kerana ia melibatkan maruah beberapa orang.

Saya belum boleh berfikir secara lurus kerana perkara ini mengejutkan. Tetapi, saya rasa bersyukur kerana anugerah ini telah diberikan kepada yang berhak. Dalam masa yang sama, saya rasa amat berat untuk menerima anugerah ini. Terima kasih kepada Yuna kerana menerima keputusan ini dengan baik. Saya tahu dia tidak sepatutnya berada dalam situasi ini. Saya dan Yuna adalah mangsa keadaan. Tidak boleh persalahkan kami.  Ini adalah kesalahan Ernst & Young (juruaudit luar rasmi AIM),” ujar Anuar meluahkan perasaannya.

Dalam masa yang sama, Anuar juga menegaskan dia dan Edry sama sekali tidak pernah berjumpa dengan sesiapa untuk mempersoalkan keputusan AIM 18 itu. Jelas Anuar, dia tidak persoalkan keputusan itu kerana faham ia adalah keputusan muktamad.

“Saya ini seorang yang redha. Jadi saya tidak persoalkan keputusan yang telah diumumkan. Saya pun tidak memikirkannya. Saya harap tidak ada pihak yang menuduh saya atau Edry yang mempersoalkan keputusan itu,” tambah Anuar lagi.

Bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang, Anuar punya pendapat sendiri untuk memperbaiki sistem penjurian.  Menurut Anuar, mereka yang menguruskan penjurian AIM seharusnya memilih juri yang lebih berkredibiliti supaya tidak berlaku kekeliruan seperti ini.

“Saya pun tidak faham mengapa penjurian harus diberikan kepada dua set hanya kerana tidak mahu pihak juri mengetahui pemenang setiap kategori . Bagi saya, jika mereka bimbang keputusan terdedah atau bocor, mereka seharusnya memilih juri yang lebih berkredibiliti. Mungkin setiap juri yang terpilih perlu menandatangani kontrak yang mengatakan mereka harus menyimpan rahsia. Dengan cara ini, penjurian untuk Lagu Terbaik boleh dilakukan dengan lebih baik di mana hanya empat lagu yang diadili,” saran Anuar.

Sama seperti Yuna, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Ketulusan Hati’ ini juga memberitahu yang dia tidak akan menarik diri daripada AIM sekiranya mendapat pencalonan pada masa akan datang. Jelas Anuar, dia akan terus memberi sokongan kerana menganggap setiap pengiktirafan yang diterima sangat bagus untuk karier seninya.

“Saya akan terus memberikan sokongan. Bagi saya, dalam menghasilkan album, saya mahukan kepuasan diri sendiri. Apabila mendapat pencalonan dalam anugerah, sudah pasti saya rasa berbesar hati. Ia adalah pengiktirafan terhadap kerja-kerja yang telah saya lakukan. Ia sesuatu yang bagus untuk perjalanan karier saya,” ulas Anuar.