Kontroversi yang melibatkan penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna di mana trofi kemenangannya menerusi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik 18 (AIM18) akan ditarik balik bukan saja mengejutkan penggemar muzik tempatan malah juga rakan-rakan penggiat seni yang lain. Perkara ini bukan saja memalukan, malah ia juga menjatuhkan kreadibiliti AIM sebagai sebuah anugerah muzik terbesar di negara ini. Ikuti reaksi beberapa selebriti tanah air mengenai isu yang menimpa penyanyi lagu ‘Penakut’ ini.
Faizal Tahir
Saya sendiri sangat suka lagu itu. Malah, saya punya ramalan untuk Anugerah Juara Lagu pun saya rasa lagu Pokok nyanyian Meet Uncle Hussain ft Nubhan atau lagu Penakut nyanyian Yuna yang akan menang. Saya terima baik Yuna dapat Lagu Terbaik. Jika dia tak menang pun, saya tak ada masalah dengan siapa saja pemenang. Cuma ini masalah integriti. Macam mana bagi anugerah kemudian boleh tarik balik.
Ana Raffali
Saya rasa sangat-sangat kecewa dengan perkara ini. Apabila kemenangan telah diberikan, sepatutnya tak ada isu kena tarik balik. Jika letak diri saya kat situ, saya akan tanya kenapa benda ini perlu berlaku. Atas isu kesilapan, tak patutlah penganjur tarik balik hak Yuna. Lagipun, peminat semua dah terima kemenangan ini jadi pihak pengajur kenalah lepaskan perkara ini. Susah tuan punya badan nak jawab nanti bila dah jadi macam ini.
Awi Rafael
Saya dapat tahu perkara ini dari kawan-kawan. Kesilapan yang berlaku adalah dari pihak penganjur jadi jangan babitkan artis yang menang. Yuna sendiri mempunyai bakat yang harus kita sanjung. Saya harap sangat benda ini tak akan berlaku lagi.
Hazama
Sepatutnya tak berlaku perkara-perkara macam ini. Kesian kat Yuna, tak best la. Bayangkan, apa yang Yuna rasa. Sepatutnya bila dah umumkan, dah rezeki dia lah. Saya harap tak ada politik dalam industri muzik kita. Industri kita ini kecil jadi sepatutnya tak berlaku macam ini. Tapi nak buat macam mana kesilapan dah berlaku. Harap ini akan jadi pengajaran di masa akan datang.