Thursday, November 24, 2011

Anuar Zain & Edry kagum dengan ketabahan Yuna


Heboh seketika dunia hiburan selepas berlakunya kontroversi penarikan semula trofi Anugerah Lagu Terbaik, untuk Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) yang dianugerahkan pada pemilik penuh lagu, Penakut, Yuna oleh pihak AIM berikutan berlakunya kesilapan dalam proses pengeditan oleh pihak juru audit, Ernst & Young.

Memartabatkan lagu Sedetik Lebih, ciptaan Edry Abdul Halim dan nyanyian, Anuar Zain sebagai pemenang sebenar anugerah itu, ia sebenarnya tidak membawa kegembiraan yang besar buat Edry dan Anuar.

“Selepas majlis AIM yang lepas, saya menjalani kehidupan seperti biasa, tidak mempersoalkan apa-apa kemenangan pada malam itu. Hanya semalam saya dihubungi oleh pihak AIM, tentang perkara ini, dan ia sedikit mengejutkan.

“Awalnya saya rasa bersalah untuk datang ke sidang media ini kerana ia melibatkan maruah dan kredibiliti semua pihak, sama ada saya dan Anuar Zain, Yuna dan pihak AIM sendiri.

“Namun saya kagum dengan apa yang dilakukan oleh Yuna, dia tidak bersalah dan hanya mangsa, tapi dia sanggup datang untuk menjelaskan tentang perkara ini, sedangkan kalau ia berlaku pada diri saya, saya belum pasti akan datang.

“Ini adalah kali pertama situasi ini terjadi sepanjang saya berada dalam dunia hiburan ini, namun perkara ini sudah pun berlaku, jadi kita perlu memperbetulkan apa yang salah,”jelas Edry.

Sementara itu, bagi penyanyi Anuar Zain, dia berharap agar apa yang terjadi ini memberi pengajaran buat pihak AIM agar berhati-hati di masa akan datang.

“Saya tidak faham cara pengadilan mereka, kenapa tidak hanya empat lagu yang di menang dalam empat kategori yang dipertandingkan itu sahaja yang diadili untuk Anugerah Lagu Terbaik, jika begini tidak akan ada salah faham sebegini.

“Perkara ini memang mengejutkan, seperti Edry, saya juga sudah tidak memikirkan tentang AIM selepas tamat malam anugerah itu.

“Sehingga kesaat ini saya masih belum boleh berfikir dengan lurus, namun saya cukup bersyukur dengan anugerah ini dan sangat menyenangi Yuna. Hari ini saya boleh katakan yang Yuna memang seorang yang berhati baik.

“Pada saya perkara ini tidak seharusnya terjadi kepadanya, namun saya berharap perkara sebegini akan menguatkan dirinya untuk terus berada dalam industri ini,”ujar Anuar Zain.