Sunday, November 20, 2011

Mampu bentuk jati diri mahasiswa (6 GAMBAR)


BELAJAR BERSAMA...bagi mereka yang menyewa di luar, suasananya pasti berbeza terutama ketika mengulang kaji.


 SEGELINTIR mahasiswa apabila tidak berjaya memperoleh tempat di kolej kediaman, pasti merasa gundah dan bimbang serta dihantui pelbagai persoalan sama ada mampu atau tidak hidup berdikari.


Selepas selesa tinggal di kolej dengan segala kemudahan, kemudian terpaksa pula keluar, tentunya banyak cabaran menanti, sekali gus menguji kekuatan emosi dan fizikal berdepan kerenah persekitaran baru.

Bagaimanapun, ada yang melihat peralihan ini sebagai cabaran dan lumrah bagi mahasiswa selain menganggapnya sebagai langkah pertama berdepan realiti dunia kehidupan.

Malah, ada gembira dengan alasan tiada kongkongan, dapat menyelia kehidupan mengikut acuan sendiri dan merasai kehidupan berdikari dengan rakan sebaya.

Persoalannya, benarkah tinggal di luar lebih selesa dan sering menjadi pilihan mahasiswa? Atau mereka terpaksa melakukannya kerana tidak mempunyai pilihan lain?

BERSIAP SEDIA...walaupun duduk di luar kampus, bukan alasan untuk tidak ke kelas, malah perlu lebih bertanggungjawab dan berdisiplin supaya tidak timbul masalah.
Mahasiswa Fiqh dan Fatwa, Fakulti Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Wan Haizum Wan Hamzah, berkata dia lebih selesa tinggal di luar kerana tidak terikat dengan pelbagai peraturan selain bebas mengurus kehendak peribadi tanpa menyalahi undang-undang kolej.

Menurutnya, tinggal di luar bukan saja membantunya berdikari, malah memperoleh pelbagai pengalaman baru yang silih berganti hasil pergaulan dengan masyarakat sekitar.

BERKAT...kemesraan lebih terasa apabila saling berkongsi masalah antara satu sama lain.
“Pilihan ini memang tepat dengan kehendak hati saya kerana berasakan lebih mudah membuat keputusan sendiri tanpa mengganggu rakan atau peraturan kolej. 

Bagaimanapun, bukan bermakna saya boleh bebas semahunya kerana yang penting masih ada ruang peribadi.

“Keseronokannya juga berlainan kerana ada perbezaan hidup bersama rakan sebaya dengan masyarakat pelbagai latar belakang. Di luar, kami perlu lebih toleransi, menjaga tatasusila selain nama institusi diwakili.

BERDIKARI...semua perlu dilakukan sendiri
namun bantuan dari rakan boleh meringankan beban.
“Dengan kata lain, meskipun ada kebebasan, ia perlu dibayar dengan harga lain, jadi terpulanglah untuk memilih sama ada hidup di kolej atau di luar kerana kehendak sendiri pasti berbeza,” katanya.

Bagi mahasiswa, bukan sesuatu yang janggal apabila terpaksa menyewa di luar kampus apatah lagi bukan semua institusi mampu menyediakan kolej kediaman sepanjang tempoh pengajian.

Hanya mereka yang memenuhi kriteria kelayakan saja memperoleh keistimewaan itu menyebabkan sebahagian besar terpaksa mencari rumah sewa.

Berkongsi pengalaman awalnya, dia berkata terpaksa berhempas pulas mencari rumah sewa yang mampu dibayar selain mengeluarkan lebih belanja untuk membeli peralatan rumah.

“Tinggal di kolej semuanya tersedia tapi di luar, semuanya sendiri. Bagi yang bernasib baik, mendapat rumah sudah ada kelengkapan, namun sewanya pula mahal.

“Memang janggal apabila terpaksa menguruskannya sendiri apatah lagi dengan rakan yang juga tidak mempunyai pengalaman. Bagaimanapun, ia tetap menyeronokkan kerana kami berkongsi pendapat dan pandangan selain rasa teruja menjalani kehidupan bujang,” katanya mengakui keseronokan tambah berganda apabila memperoleh rakan baru yang tinggal berdekatan.


“Jika di kolej, kebanyakannya jarang bertegur sapa dan kurang mengenali satu sama lain kerana terlalu ramai, sebaliknya tinggal di luar pula kerap bertemu. 

Secara tidak langsung menjadi rakan merangkap jiran.

“Perhubungan juga lebih mesra kerana boleh berkongsi suka duka dengan rakan ‘sekepala.’ Selalunya, kebanyakan rakan penyewa adalah mereka yang sudah lama dikenali, jadi kurang masalah,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui ada juga kekurangan tinggal di luar terutama dari segi keselamatan dan peningkatan perbelanjaan bulanan atau harian.

Menurutnya, tinggal di kolej kediaman, keselamatan terjamin kerana ada yang memantau tapi di luar, semuanya bergantung pada diri sendiri selain terpaksa menanggung kos luaran yang meningkat.

“Sewa perlu dibayar setiap bulan selain tambahan pelbagai kos sampingan. Bagi kami yang masih tidak mempunyai pendapatan tetap, ia menyeksakan selain menyusahkan ibu bapa.

BERDISIPLIN...duduk di luar membantu
menjadi lebih berdisiplin serta menjalani
kehidupan secara teratur.
“Soal keselamatan juga sangat minimum, masing-masing perlu menjaga diri sendiri terutama perempuan. Inilah antara cabaran getir terpaksa dihadapi apabila tinggal di luar walaupun tetap ada keseronokannya.

Mahasiswa Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Rohaida Abdul Manaf, turut berpendapat hidup di luar lebih membentuk kekuatan diri selain menjadikan mahasiswa berdisiplin.

“Bayangkan, segala kesusahan perlu ditanggung sendiri, tiada yang mengambil berat. Bukankah itu satu pelajaran baik untuk membentuk jati diri?

“Kami juga perlu bijak membahagikan masa kerana kebanyakan rumah jauh dari kampus, justeru sesiapa yang beringat pasti berjaya, namun jika sebaliknya berlaku,” katanya.

Persoalan golongan mahasiswa yang tinggal di luar kolej mudah terbabit dengan gejala sosial bagi Rohaida semuanya atas kehendak dan kawalan diri masing-masing.

Pengaruh itu, katanya boleh menular di kepada sesiapa saja tanpa mengira latar belakang, pangkat, status atau usia.

SALING BEKERJASAMA...duduk di luar kampus memberi peluang mahasiswa mempraktikkan amalan bekerjasama antara satu sama lain.
“Jadi terpulanglah pada individu untuk mencegah diri sendiri daripada menjadi mangsa. Tidak bermakna apabila tinggal di luar, mudah terbabit dengan gejala itu biarpun tidak menafikan ia masih berlaku.


“Paling penting, bagaimana cara mengelaknya seperti pemilihan rakan serumah dan pemantauan jiran atau keluarga. Tinggal di luar bukan bermakna bebas sepenuhnya.

“Bagi saya, sama ada tinggal di luar atau kolej, ada kekurangan dan kelebihannya. Perjuangan paling utama adalah menamatkan pengajian, sekali gus memulakan kehidupan sebenar selepas itu,” katanya.