KUALA LUMPUR 19 Nov: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Ketua Pemuda Umno menyahut cabaran debat oleh Rafizi Ramli berkenaan isu skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan tidak berdolak-dalik.
“Tidak ada alasan untuk Khairy Jamaluddin menolak jemputan ini memandangkan beliau sendiri telah menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan sesiapa saja,” kata Timbalan Ketua Penerangan AMK, Najwan Halimi.
Rafizi semalam mencadangkan debat tersebut dibuat pada 12 Disember ini dan telah menghantar surat jemputan kepada Khairy dengan menyatakan cadangan tarikh berkenaan.
Najwan berkata, tempoh notis satu bulan seperti dinyatakan oleh Pengarah Strategi KEADILAN itu sewajarnya dapat digunakan Khairy dalam mengatur jadual aktiviti beliau.
Menurut Najwan, AMK menyambut baik inisiatif Rafizi dalam mengemukakan jemputan berdebat ekoran dakwaan pendedahan penyelewengan dana awam membabitkan keluarga Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
“Penjelasan Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohammad Salleh Ismail berkaitan isu ini adalah tidak meyakinkan dan sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan akan kemungkinan wujudnya elemen penyelewengan dalam pengurusan kewangan NFC”.
“Justeru, pada masa sama, AMK juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengambil serius berhubung dakwaan penyelewengan projek NFC ini serta menjalankan siasatan menyeluruh memandangkan ianya melibatkan dana awam.
“Bahkan laporan berkaitan isu ini juga telah pun dibuat di pejabat SPRM oleh sebuah NGO pada minggu lalu,” katanya.