Monday, April 9, 2012

Akibat akhlak buruk, Melodi kini tanpa Dira (3 GAMBAR)


RANCANGAN Melodi yang bersiaran secara langsung dari Genting Highlands, sempena penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 di lokasi peranginan itu, semalam, agak berbeza apabila ia tidak diacarakan seorang daripada hos tetapnya, Dira Abu Zahar. 

Sebaliknya, tempat wanita terbabit digantikan dengan Awal Ashaari, yang bergandingan dengan seorang lagi pengacara tetap program itu, Zizan Razak.

Bukan direhatkan, sebaliknya Dira dikatakan sibuk dengan penggambaran filem dan tugasan lain. Malah, ketiadaannya pada minggu ini juga bukan disebabkan kontroversi yang dikatakan membabitkan dirinya baru-baru ini, tetapi bagi memberi peluang kepada pengacara lain mengendalikan program terbabit.
Penerbit Eksekutif Melodi, Jamil Hassan, berkata rancangan menggandingkan pengacara tetap dengan selebriti lain sudah lama ada dalam agenda mereka, sebelum isu terbabit timbul lagi. 

"Kita masih menyiasat kebenaran mengenai isu yang dikaitkan dengan Dira, jadi tiada sebab untuk kita merehatkan atau memberhentikan dia tanpa bukti kukuh mengaitkannya dengan kontroversi itu. 

"Minggu lalu kita gandingkan Dira dan Awal, jadi minggu ini kita gandingkan pula Zizan dengan Awal. Kita pilih Awal sebab dia sudah lama dengan stesen televisyen ini dan dia ada personaliti sebagai pengacara," katanya. 


Malah, Awal diletakkan sebagai pengacara simpanan bagi menggantikan seorang daripada pengacara tetap itu, jika ada antara mereka yang tidak dapat berbuat demikian. 

"Minggu ini saja Dira tidak bersama kita. Insya-Allah minggu depan dia ada semula. Bukan saja Awal, tetapi akan ada selebriti lain yang bakal menjadi pengacara jemputan kerana kita nak pelbagaikan rentak rancangan ini, di samping mengekalkan dua pengacara terbabit. 

"Buat masa sekarang, kami masih mengekalkan mereka sebagai hos Melodi. Tiada perancangan untuk kami menggantikan kedua-duanya dengan orang lain kerana mereka sudah pun ada daya penarik untuk membuatkan orang ramai menonton rancangan ini," kata Jamil. 

Awal April lalu, media melaporkan insiden pergaduhan membabitkan seorang pengacara rancangan gosip, berlaku di sebuah kelab di ibu kota. Bagaimanapun Dira dilaporkan tampil membuat penafian insiden berkenaan ada kena-mengena dengan dirinya.

No comments:

Post a Comment