Tuesday, March 20, 2012

Mamat mahu Fida kembali padanya (GAMBAR)


Mamat tetap berharap agar mendapat peluang kedua untuk bercinta semula dengan Fida dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

PADA tahun lalu, hubungan percintaan yang terjalin antara pelakon komedi Mohd. Noor Murad atau lebih dikenali sebagai Mamat dengan pelakon Fida Ibrahim musnah sedangkan usia percintaan mereka baru mencecah enam bulan.

Semuanya gara-gara tindakan Mamat yang telah memuat naik gambar Fida tidak memakai tudung yang diambil ketika mereka sama-sama bercuti di laman sosial Facebook sehingga mengundang kemarahan pelakon tersebut.

Bagaimanapun, Mamat yang sebelum ini pernah popular dengan kumpulan Sepah sebelum kumpulan yang menjuarai program Maharaja Lawak itu berpecah berkata, kini dia dan Fida tetap menjalinkan hubungan sebagai teman biasa.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran filem animasi Bola Kampung di GSC Signature The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini, Mamat juga mengakui dia masih lagi menyayangi bekas kekasihnya itu.

Kosmo!: Adakah anda masih berhubung dengan Fida selepas putus cinta?

MAMAT: Sebenarnya saya dan Fida masih menjalinkan hubungan, tetapi hanya sebagai kawan biasa. Walaupun bukan lagi pasangan kekasih, kami berdua akan keluar bersama-sama kalau ada kelapangan dan hubungan kami tetap baik.


Tidak dinafikan ada beberapa orang rakan saya yang agak pelik apabila kami berkawan, namun apa salahnya kalau kami berkawan. Saya sendiri langsung tidak menyimpan perasaan dendam terhadapnya, meskipun dia yang membuat keputusan untuk mengakhiri percintaan kami.

Pernah merancang untuk menjalinkan semula hubungan cinta dengan Fida?

Saya akui perasaan sayang dan cinta terhadap Fida masih ada, tetapi kami tidak pernah terfikir untuk kembali semula menjalinkan hubungan cinta dan kami tidak pernah membincangkan perkara tersebut.

Setakat ini kami lebih selesa untuk berkawan sahaja dan saya anggap dia seorang kawan yang sangat baik kerana masih mengambil berat terhadap diri saya. Malah, saya tetap berharap agar mendapat peluang kedua untuk bercinta semula dengannya dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama.

Adakah anda tidak mahu mencari teman wanita lain?

Selain terpalit dengan kontroversi bersama Fida, saya juga dikatakan seorang lelaki playboy kerana sikap saya yang terlalu peramah dengan sesiapa sahaja sehingga dilabel sebegitu. Jadi, saya tidak terfikir untuk mencari teman wanita baharu dan lebih selesa dengan kehidupan sekarang.

Bagaimana pula dengan perkembangan anda selepas kumpulan Sepah berpecah?

Walaupun kini saya sudah bergerak secara solo untuk meneruskan kerjaya seni, tetapi saya bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah yang mahu mengambil saya berlakon.

Namun, ketika kumpulan Sepah mula-mula berpecah dahulu saya akui ada merasai sedikit tekanan sehingga takut untuk berhadapan dengan peminat. Kemudian, saya fikir sampai bila saya harus berada dalam keadaan sedemikian dan akhirnya saya berazam untuk berusaha dengan lebih keras lagi.

Apakah yang membuat anda menjadi tertekan?

Apabila saya dipersalahkan sehingga menjadi punca kepada perpecahan kumpulan Sepah kerana kontroversi yang telah melanda diri saya. Lebih membuatkan saya sedih dan terkilan apabila ia turut menjejaskan nama baik keluarga saya.

Bagaimanakah hubungan anda dengan bekas ahli kumpulan Sepah iaitu Jep dan Shuib?

Kami bertiga memang sudah lama bersahabat sebelum kewujudan kumpulan Sepah. Jadi, tidak bermakna hubungan persahabatan itu putus gara-gara kami sudah membawa haluan masing-masing.

Sehingga kini kami masih lagi berhubungan di antara satu sama lain, sama ada melalui telefon dan khidmat pesanan ringkas untuk bertanya khabar. Namun, kami sudah agak jarang berjumpa kerana sibuk dengan kerjaya.

No comments:

Post a Comment