Wednesday, March 21, 2012

Sharifah Amani tidak pernah ‘memilih bulu’ (VIDEO)


Pernah merangkul anugerah Pelakon Harapan Wanita menerusi filem Sepet pada Festival Filem Malaysia Ke-18 (FFM18), kehebatan pelakon ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

Bukan sahaja dapat menjiwai watak dengan penuh mendalam, malah pelakon filem Muallaf, Sharifah Amani, juga tidak pernah ‘memilih bulu’.

Tidak kira apa jua watak yang diberikan, komitmen Amani, ternyata harus dipuji. Terbaru, watak yang dipegangnya menerusi cerekarama di TV3 berjudul Pelarian, amat berkesan.

Drama arahan Azma Aizal Yusoof ini menyingkap sisi golongan gelandangan melalui kisah tiga beradik yang hidup di jalanan dalam usaha mencari ibu mereka di Kuala Lumpur.

Menurut Amani yang mesra disapa Nani, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk memilih watak. Malah, setiap watak yang diberikan dianggap sebagai pengalaman berbeza yang harus ditimba.


“Menerusi drama Pelarian, watak tersebut ialah Miza bukan Sharifah Amani. Jadi, saya perlu jadi Miza dan menyelami kehidupan sebagai gelandangan.

“Walaupun harus berpakaian comot dan hidup di jalanan, saya sanggup lakukan. Lagipun, pelakon tidak boleh jadi selebriti dan hanya berlakon dengan sentiasa bersolek tebal.


“Pelakon dan nak cuba berlakon, dua perkara berbeza. Ramai yang salah anggap perkara ini dan tidak sanggup untuk bawa watak buruk. Selagi saya digelar pelakon, selagi itulah saya akan terus bawa watak yang diarahkan,” katanya.


Kagumi Bobok

Sebagai aktres berpengalaman, Nani tidak dapat menyembunyikan kekagumannya terhadap bakat yang ada pada pelakon cilik, Puteri Balqis yang memegang watak sebagai adiknya, Bobok dalam Pelarian.

Kata Nani, walaupun usia Balqis baru sahaja empat tahun, tetapi bakat dimilikinya jarang ada pada kanak-kanak lain.

Mengakui selesa bekerjasama dengan si kecil itu, Nani menyifatkan Balqis sememangnya dilahirkan sebagai pelakon.

“Bila babak yang memerlukan dia menangis, dia akan berusaha sendiri untuk menghasilkan mood tersebut. Dia memang sangat berbakat dan tidak banyak perangai.

“Tidak seperti kanak-kanak lain yang harus dipujuk terlebih dahulu, dia bijak memainkan peranan dan watak. Saya dah jumpa ramai pelakon kanak-kanak, tetapi Balqis adalah yang terbaik,” katanya yang bakal muncul dalam filem, 3 Rasa dan Pontianak vs Orang Minyak.

No comments:

Post a Comment