BAKAL pasangan raja sehari yang mengimpikan majlis perkahwinan eksklusif boleh memilih pakej perkahwinan seperti yang disediakan di Hard Rock Cafe Pulau Pinang (Hard Rock Cafe Penang). Lain daripada yang lain, pakej diberi nama Heck Yeah itu menampilkan majlis dalam suasana ala rock, tetapi santai dengan prestij imej Hard Rock Cafe.
Dua pakej boleh dipilih pasangan iaitu Take My Breath Away atau Time of Your Life pada harga yang ditawarkan ialah RM100 atau RM120 seorang
Majlis yang berlangsung di dalam Hard Rock Cafe Penang pasti meriah dengan berlatarbelakangkan pentas serta dekorasi eksklusifnya seperti koleksi piring hitam, pakaian, aksesori dan alat muzik.
“Sama ada anda pasangan pengantin yang berjiwa rock atau sekadar meminati muzik, ia satu pilihan yang pasti meninggalkan momen indah,” ujar Pengurus Besar Hotel Hard Rock Penang, John Primmer.
Katanya, harga pakej yang ditawarkan itu termasuk hiasan, sistem cahaya dan audio, kad jemputan kahwin eksklusif dengan logo Hard Rock Cafe serta penginapan sehari di Seaview Suite bagi pasangan pengantin.
“Apa yang membezakan tanda harga pakej ini ialah menu yang disediakan sahaja iaitu antara 22 hingga 28 jenis hidangan ala Hard Rock.
“Lebih istimewa, pengantin juga layak mendapat potongan 10 peratus untuk membeli barangan kami di kedai Hard Rock Shop,” ujarnya pada majlis memperkenalkan pakej perkahwinan itu kepada media baru-baru ini.
Sementara itu, Eksekutif Jualan Hard Rock Cafe Penang, Grace Ramji memberitahu, pasangan pengantin bagaimanapun boleh memilih untuk mengadakan majlis mereka mengikut cara yang dikehendaki.
Katanya, sebagai tambahan, pihaknya juga boleh menganjurkan parti atau majlis yang berasingan dengan kadar caj tertentu.
“Pakej perkahwinan ini sesuai bagi pasangan pengantin yang ingin mengadakan majlis resepsi dengan jumlah tetamu yang sederhana, tetapi inginkan suasana istimewa untuk dikongsi bersama keluarga atau teman-teman rapat.
“Harga yang ditawarkan ini adalah bagi majlis perkahwinan yang berlangsung pada waktu petang dan caj tambahan akan dikenakan bagi majlis yang ingin diadakan pada waktu malam,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment