Tuesday, December 6, 2011

Resepsi Ezlynn dan Adam Pula Ditaja RM12 juta oleh Rafflesia (9 GAMBAR)


KUALA LUMPUR, 6 DIS 2011: Telah pun selamat diijabkabulkan pada 20 November lalu, pasangan penyanyi, Ezlynn bersama suami tersayang, Adam Fahmy Shamsudin bakal diraikan dalam satu majlis resepsi bertemakan Sepanyol Musim Luruh pada 11 Januari depan di Hotel Crowne Plaza.

Jelas Ezlynn, majlis persandingan anjuran penaja utama Rafflesia Pearls itu, umpama mimpi menjadi kenyataan kerana sememangnya dia telah lama mengidamkan tema persandingan sebegitu.

"Saya bersyukur kerana pihak Rafflesia serta penaja lain sudi menaja majlis resepsi kami.Menerusi kerjasama ini, secara tidak langsung telah berjaya merealisasikan impian saya menjadi kenyataan.

"Memang sejak dulu, saya mengimpian sebuah majlis persandingan sebegitu kerana mahu berlainan daripada majlis yang pernah diadakan oleh individu lain. Selalunya orang suka memilik konsep Jawa atau Arab. Jadi apa salahnya saya buat sesuatu yang berbeza," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media resepsinya di Hotel Crowne Plaza, semalam.

Sementara itu, jelas perunding majlis perkahwinan mereka, Bill Bora, majlis resepsi itu kelak akan menampilkan idea daripada empat pereka fesyen wanita untuk menghiasi penampilan pertama Ezlyn dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Katanya, Sya Sharani bakal mereka gaun buat Ezlynn, manakala Liza Zulkarnain pada bahagian ekor gaun, Syarifah Mariam di khaskan untuk rekaan viel dan tidak ketinggalan si cantik Neelofa yang dipertanggungjawab bagi mereka kasut pengantin itu nanti.

"Kita mahu majlis resepsi itu nanti akan diserikan oleh idea girls power. Kerana itu kita pilih empat pereka muda untuk menyiapkan kelengkapan persalinan pertama buat Ezlynn. Kesemuanya iaitu baju, kasut dan sebagainya akan dipadankan dengan mutiara Rafflesia.

"Saya yakin, dia akan berseri-seri apabila menyarung gaun serta segala kelengkapan perkahwinan ditambah dengan set barangan kemas pada hari istimewa itu nanti,"katanya.

Pada majlis resepsi kelak, Ezlynn bakal mengayakan dua pasang gaun tambahan.

"Gaun pertama, merupakan gaun Rafflesia berwarna champange yellow iaitu ala krim keemasan yang bertakhtakan mutiara putih laut selatan bernilai di antara RM400 ke RM 500 ribu.

"Malah akan turut dilengkapi dengan satu set barang kemas termasuklah anting-anting, rantai dan cincin yang bernilai RM3.8 juta," kata Bill Bora.

Manakala ,gaun kedua pula rekaan pereka luar negara bakal menjadi pilihan namun masih dirahsiakan perekanya. Ianya juga akan diserikan bersama mutiara emas dan mutiara hitam Tahiti beserta set barang kemas bernilai RM4 juta.

Sementara itu, persalinan Adam iaitu sut berwarna keemasan bakal direka oleh Kevin daripada Lords's Taylor yang mana butang dan cufflinknya akan bertakhtakan mutiara serba indah.

Ditanya adakah majlis resepsi tersebut bakal menyamai nilai perkahwinan Norman Hakim dan Memey Suhaiza, kata Bill Bora, jumlah sebenarnya masih belum boleh dianggarkan namun besar kemungkinan nilainya hampir serupa.


"Majlis kali ini kosnya boleh dikatakan tidak jauh beza seperti majlis Memey dan Norman. Cuma kita masih belum tahu anggaran sebenarnya kerana kita masih belum lagi memilih gaun kedua yang mana besar kemungkinannya akan dipilih daripada rekaan luar negara.

"Jika ada yang mempertikaikan mengenai nilai mahal sesuatu majlis itu, ingin saya nyatakan ianya berlaku kerana mutiara yang digayakan pada kelengkapan serta yang dipakai oleh pengantin itu sendiri sudah bernilai berpuluh hingga juta ringgit,"katanya.