Monday, December 5, 2011

Fazura buat bisnes sebagai jaminan masa depannya


NUR Fazura Sharifuddin atau lebih mesra disapa sebagai Fazura meluahkan hasrat hatinya untuk mengurangkan aktiviti lakonan dalam waktu terdekat ini.

Luahan itu dinyatakannya atas dasar, ingin memberi tumpuan kepada perniagaan yang bakal dimulakan pada tahun hadapan.

Biarpun alasan itu agak janggal dan menimbulkan sedikit tanda tanya, namun sebagai menghormati hasrat Fazura, Hits mendengar huraian di sebalik kenyataannya itu.

"Secara jujurnya saya sedang berehat daripada menjalani sebarang bentuk penggambaran buat sementara waktu ini.

"Justeru, apabila dilontarkan dengan soalan apakah penggambaran terbaru yang saya jalani, jawapannya ialah tiada.

"Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa saya kini sudah pun mengurangkan jadual berlakon.

"Memang benar saya ingin memberikan perhatian yang lebih kepada perniagaan yang bakal saya mulakan pada awal tahun hadapan," jelas Fazura dalam nada bersungguh-sungguh.

Kata bekas bintang Lux itu, dia sedar sebagai pelakon, kedudukannya tidak akan berada di atas buat selama-lamanya.

Akan tiba saat dirinya dimamah usia dan mungkin pada ketika itu nanti, tawaran berlakon tidak lagi sehebat hari ini.

Berpegang kepada hakikat itulah, Fazura memberitahu, dia perlu mempunyai perancangan masa depan.

Pada hematnya, membuka perniagaan adalah satu perancangan yang baik dan lazimnya dilakukan oleh kebanyakan artis di negara ini.

"Kita tidak boleh selama-lamanya berada di atas. Sebab itulah, saya mengambil sedikit ruang untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan.

"Bagi memastikan segala perancangan perniagaan itu berjalan dengan lancar, saya perlu berehat seketika daripada dunia lakonan.

"Mungkin juga dalam tempoh berehat ini, saya dapat membayar balik waktu-waktu sibuk berlakon yang telah saya lalui sekian lama," katanya.

Selektif bukan cerewet

Bakal muncul dengan dua filem baru bertajuk Bujang Terlajak dan Kantoi tahun depan, Fazura berkata, dia kini lebih selektif dalam memilih tawaran berlakon.

"Saya bukannya mahu berehat lama sangat dalam dunia lakonan tetapi apabila perniagaan saya sudah bermula, saya perlu lebih memilih watak.

"Sikap ini bukan bermakna saya cerewet tetapi saya perlu fikirkan juga, bisnes yang saya jalankan.

"Kalau nak katakan saya tidak pernah cuba untuk berhenti terus daripada berlakon, memang saya pernah cuba.

"Bagaimanapun, cubaan saya itu tidak berjaya kerana minat terhadap industri seni sangat tebal. Juga, saya tidak mahu menghampakan peminat yang sentiasa menyokong karier seni saya.

"Mungkin selepas ini, saya akan lebih memilih karakter dan skrip yang saya suka serta selesa untuk melakonkannya memandangkan fokus saya selepas ini bukan sekadar bidang lakonan," jelasnya.

Tidak lengkap rasanya perbualan dengan aktres berwajah lembut ini jika tidak ditebak dengan soalan cinta.

Ketika ditanya kisah percintaannya, pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Filem Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2010 menerusi filem Pisau Cukur tu ternyata lebih selesa untuk tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.

"Saya tidak mahu memberikan sebarang kenyataan tentang persoalan ini. Lagi pun saya lebih selesa jika tidak diajukan soalan itu.

"Memang setiap orang ada hak untuk meluahkan pendapat atau pandangan dan perasaan mereka di ruangan atau laman sosial.

"Tetapi bagi saya, kemudahan itu lebih digunakan untuk berhubung dengan peminat yang selama ini menyokong perjalanan seni saya," jelasnya.