Wednesday, November 23, 2011

Zahid : Isu calon agenda utama Perhimpunan Agung UMNO


MEMANDANGKAN bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kini semakin dirasai, maka sewajarnyalah isu pemilihan calon dan langkah perlu bagi menangkis tohmahan pembangkang dijadikan agenda utama pada Perhimpunan Agung UMNO 2011, yang akan berlangsung dari 29 November hingga 3 Disember ini.

Hampir setiap pemimpin UMNO yang ditemui menyentuh isu berkaitan pilihan raya, termasuk kriteria baru pemilihan calon bagi memastikan kemenangan kepada parti tunjang, Barisan Nasional (BN).

Parti berkehendakkan 'winnable candidate' atau calon yang dijamin menang bagi membolehkan BN memperoleh majoriti dua pertiga atau menang besar seperti pada 2004. - Dr Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO

Perwakilan ke perhimpunan agung itu tentunya akan menantikan apa arahan selanjutnya daripada presiden parti bagi membolehkan mereka membawanya balik ke bahagian dan cawangan masing-masing untuk diterapkan sebagai agenda utama UMNO dalam menghadapi PRU-13.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, berkata ada beberapa aspek penting yang menjadi tema besar ucapan dasar presiden, iaitu tanggungjawab memperkukuhkan semua bentuk agenda, sistem dan jentera parti bagi menghadapi PRU-13.

Pada pertemuan dengan wartawan semalam, menjelang Perhimpunan Agung UMNO, Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, perwakilan juga dijangka memberi tumpuan kepada kriteria baru pemilihan calon yang bukan lagi bersandarkan hirarki dalam parti.

Faktor calon ini, kata beliau, boleh menyebabkan parti menjadi lemah sekiranya ada pihak tidak menyokong keputusan parti. Kajian menunjukkan faktor calon memang menyumbang kepada kemenangan, tetapi faktor kestabilan atau permasalahan dalaman juga turut menjadi penyebab kemenangan atau kekalahan. 
Zahid menambah, pada PRU-12 pada 2008, masalah dalaman parti menjadi penyumbang utama kekalahan UMNO dan calon lain dalam BN. 

“Apa yang membimbangkan pemimpin atasan ialah permasalahan pemimpin pada peringkat bahagian atau apa yang diistilahkan sebagai ‘war lords’.

“Ada pihak yang sudah lama mengasah pedang untuk menajamkan lagi kuasa dan pengaruh mereka di kawasan masing-masing hingga berlaku masalah intra-parti,” katanya.

Justeru, Naib Presiden UMNO itu mahukan masalah dalam rumah tangga kepemimpinan pada peringkat bahagian diselesaikan agar ia tidak terus mengakibatkan parti menjadi lemah pada PRU-13.

Ini bermakna jawatan dipegang pada peringkat bahagian bukan lagi penentu bagi pemilihan sebagai calon.

Zahid mengakui bahawa sistem baru pemilihan calon itu memang sukar sebab faktor ‘war lords’ itu, namun ia adalah hakikat yang perlu diterima sebagai kriteria dalam pemilihan calon kali ini.

“Parti berkehendakkan ‘winnable candidate’ atau calon yang dijamin menang bagi membolehkan BN memperoleh majoriti dua pertiga atau menang besar seperti pada 2004.

“Soalnya apakah kita boleh mendapat pencapaian terbaik seperti pada 2004 atau terburuk dalam sejarah seperti pada 2008. Apakah mustahil bagi kita mencapai tahap kemenangan 2004?” katanya.

Di samping itu, tambahnya, UMNO juga harus melihat faktor penolakan yang menyumbang kepada peminggiran calon BN dan peranan media sosial ketika itu, yang mengakibatkan penghakisan sokongan.

Katanya, media sosial alam maya ketika itu dianggap lebih berwibawa daripada media arus perdana dan pihak pembangkang berjaya mengambil kesempatan daripadanya.

Tetapi lama-kelamaan ternyata terdapat maklumat disampaikan menerusi media sosial yang bercambah di dalam internet itu lebih berbentuk imaginatif dan spekulatif serta hentam kromo saja, yang menjatuhkan kredibilitinya.

Pada masa sama, kata Zahid, muncul media sosial yang memihak kepada parti memerintah yang memaparkan berita lebih objektif dan diterima khalayak berbanding laman web atau portal berita yang menaburkan kebencian kepada kerajaan.

Apapun, seperti rakan sejawatannya dalam parti, Naib Presiden itu menganggap perhimpunan kali ini sebagai paling penting menjelang PRU akan datang.