Wednesday, November 23, 2011

Ciri DSLR kompak Olympus (FLASH & 4 GAMBAR)

ANTARA petugas media yang diberi peluang mencuba pelbagai jenis
kamera Olympus PEN baru-baru ini di Singapura.
APABILA memerhatikan kelompok generasi muda hari ini yang menghabiskan waktu senggang sama ada di taman-taman awam mahupun di kompleks beli-belah, rata-ratanya mereka membawa sebuah aksesori wajib alaf ini iaitu kamera.

Daripada seringkas-ringkas fungsi kamera kompak hinggalah kepada kamera DSLR yang mewakili tahap pengguna intermediate atau profesional, ternyata kegilaan terhadap fotografi begitu ketara dewasa ini.

Meskipun begitu, sebahagian besar pengguna kamera masih berkehendakkan sesuatu yang relevan dengan gaya hidup mereka. Antara ciri yang sering diidamkan adalah gajet yang mudah dibawa, berkuasa dan mampu memberikan hasil fotografi terbaik.

Pada masa yang sama, pelbagai respons daripada pengguna kamera berprestasi tinggi seperti DSLR telah diterima. Mereka lazim memberi alasan bahawa gajet itu dimiliki atas sebab minat mendalam terhadap fotografi, memuaskan rasa ingin tahu terhadap teknologi canggih dan juga membantu tugasan berskala tinggi.

Hakikatnya, sebahagian daripada mereka hanya terperangkap dalam trend ikut-ikutan semasa dan pengaruh rakan sebaya yang sudah pun memilikinya.

Sebagai contoh, membawa kamera DSLR dalam sesebuah perjalanan atau kembara lasak akan menimbulkan beberapa isu seperti faktor saiz dan berat yang mengambil banyak ruang simpanan serta menjejaskan ciri mudah bawa.

Kesenangan mengendali model DSLR juga bergantung kepada kecekapan penggunanya menukar tetapan dalam situasi yang pantas berubah.


FUNGSI penstabilan imej membantu hasil mod Night Scene yang baik walaupun foto ini diambil tanpa menggunakan tripod.

Dari sudut lain, kamera digital kompak mungkin boleh menjadi penyelamat, namun mampukah ia memberi hasil fotografi yang memuaskan?

Selari dengan permintaan konsumer yang berhadapan situasi sebegitu, pengeluar jenama kamera terkemuka, Olympus (Malaysia) memperkenalkan rangkaian produk terkini mereka melalui siri PEN.


Bermula pada Jun 2009, syarikat tersebut telah mengumumkan model PEN E-P1, sejenis kamera digital dengan lensa boleh tukar menggunakan sistem Micro Four Thirds (MFT).

Tradisi PEN diteruskan dengan pengenalan model E-P2 dan E-P3 yang memiliki keupayaan tambahan seperti pencari pandangan (viewfinder) elektronik resolusi tinggi dan Art Filter.

Sepanjang tahun 2010 juga, rangkaian Olympus PEN Lite E-PL1, E-PL2 dan E-PL3 yang lebih ringan dan kompak menemui peminatnya. Ia diikuti dengan model Olympus PEN Mini E-PM1 yang dilengkapi flash, video HD dan ciri skrin sentuh.

Rombongan fotografi

Para petugas media baru-baru ini telah dijemput oleh pihak Olympus (Malaysia) untuk mengikuti rombongan ke Singapura untuk mencuba rangkaian produk PEN. Di republik itu, slogan Happy Photography yang dibawakan jenama tersebut mula diteroka sendiri oleh para wartawan yang masing-masing dipinjamkan dengan kamera siri PEN.

Penulis telah mencuba Olympus PEN Lite E-PL3, iaitu model dengan fungsi pertengahan.

Penolong Pengurus Besar Olympus, Yong Kee Nyap sempat menerangkan mengenai keunikan reka bentuk dalaman kamera sistem kompak (CSC) yang berbeza daripada DSLR.

KESAN istimewa menggunakan filter Grainy Film adalah rakaman imej pegun bertukar menjadi hasil hitam putih yang klasik.
“Pereka kami tidak menggunakan sustem refleks cermin sebaliknya lensa ditempatkan lebih dekat dengan sensor. Itu membolehkan pihak pengeluar mengecilkan saiz dan berat kamera tanpa perlu mengurangkan upaya sensor,” ujarnya.

Itulah keistimewaan E-PL3. Ia memiliki upaya sensor yang lebih besar daripada kamera kompak tetapi kesemua mekanisme itu ‘dipadatkan’ dalam pakej yang lebih kecil dan ringan. Generasi kamera terbaharu itu juga tidak mengetepikan aspek kepantasan.

Mengambil gambar dalam situasi pelbagai kini lebih mudah dan lekas. Hal itu disumbangkan jentera dalaman yang membenarkan waktu respons pantas, iaitu ketika kamera memfokus saat butang shoot ditekan mahupun ketika melihat hasil paparannya di skrin.

Sistem autofokus (AF) 35 poin terbaharu Olympus didakwa sebagai yang paling pantas dalam pasaran. Pencahayaan AFnya juga amat membantu ketika persekitaran semakin gelap.

Kelebihan itu memberi hasil ketepatan yang baik, biarpun ketika mengambil subjek utama yang tidak berada di tengah-tengah bingkai pandangan.


PENGGUNAAN Dramatic Tone menjadi kegemaran mereka yang mahu menghasilkan seni kanvas dalam warna eksentrik dan seterusnya membawa pelbagai tafsiran penceritaan.

“Pengguna akan dapati panel atas kamera ini menyediakan mod dail untuk fungsi automatik dan manual yang mudah digunakan. Selain itu, terdapat juga butang alternatif mod video HD yang secara ergonomik ditempatkan di kedudukan ibu jari,” jelas Yong.

Sesekali ingin merakam detik istimewa, butang rakaman video siap berfungsi dengan sekali sentuh. Resolusi yang ditawarkan adalah memadai untuk tujuan rakaman, lebih-lebih lagi dengan tahap kecerahan dan kontras yang wajar.

Lebih menyeronokkan untuk kesan pada imej pegun adalah pilihan fungsi Art Filters seperti Diorama, Pop Art, Soft Focus, Pale & Light Color, Light Tone, Grainy Film, Pin Hole, Cross Process, Gentle Sepia, Dramatic Tone dan White Edge.

Kesan seni

Bagi model E-PL3, hanya enam jenis filter seni itu disediakan sementara bagi model E-P3, ada 10 pilihan kesemuanya.

Masing-masing memberi suntingan kesan khas yang membuatkan setiap gambar tampil dengan gaya dan warna yang kreatif. Pin Hole, misalnya, menjadikan gambar mempunyai gelung warna yang lebih gelap dan kusam di sekeliling bingkainya, seperti hasil kamera lomo.

“Model kamera point-and-shoot kompak ini membolehkan pengguna menukar lensa. Olympus menyediakan banyak pilihan lensa mengikut keperluan pengguna.

“E-PL3 membawa kuasa 12.3 megapiksel dengan sensor imejan Live MOS dan pemproses imej yang lebih mantap,” ujar Penolong Pengurus Produk, Bahagian Sistem Imejan Olympus, Tang Kwok Yoon.

Seperkara lagi yang boleh dipuji adalah antaramuka panel kawalan dan navigasi yang tidak leceh. Secara tidak langsung, pengendaliannya boleh memuaskan hati pengguna kamera kali pertama mahupun kelompok pengguna yang lebih berpengalaman.

Menilai secara keseluruhan, E-PL3 mampu memenangi hati ramai pengguna kamera kerana reka bentuknya yang bergaya, nilai kejuruteraan dan prestasinya. Tidak salah kalau meletakkan siri Olympus PEN sebagai gajet kompak yang menghampiri kepuasan penggunaan kamera DSLR.

Ramai juga yang pasti bersetuju pada keringkasan antaramuka, keupayaan AF pantas dan skrin LCD antikilau yang boleh disendeng. Tidak lupa juga pada tawaran ciri mesra pengguna, tindakan responsif yang baik dan kepelbagaian hasil rakaman.

Oh ya, bagi mereka yang ‘obses’ mengambil gambar sendiri, khususnya yang gemar memuat naik terus ke laman sosial, ternyata reka bentuknya yang kompak dan mudah dikendali sebelah tangan menjadikan minat camwhoring itu sungguh mudah dilaksana!