Dugaan dan ujian yang menimpa pelakon dan penyanyi, Safura Yaacob telah membuatkan dirinya semakin kuat dan tabah menempuh hidup mendatang.
Safura yang kini hamil tujuh bulan berkata, dia sudah mula redha dan menerima kenyataan pemergian dua orang yang disayanginya iaitu anaknya Nur Aisyah Mariam,3, dan bapanya, Ya'cob Kadri,77, yang telah meninggal dunia pada September lalu.
"Saya masih dalam proses pemulihan selepas apa yang menimpa diri dan keluarga. Rasa seperti mimpi pula, selepas sembilan hari anak ketiga saya meninggal dunia, saya dikejutkan pula dengan kematian bapa saya.
"Apa yang berlaku membuatkan saya semakin dekat dengan Tuhan. Saya teringatkan pesan arwah bapa, kalau kita ingatkan seseorang yang sudah meninggal dunia, maka bacakanlah mereka Al-Fatihah dan ayat-ayat suci Al-Quran.
"Jadi daripada saya tak tentu arah teringatkan anak dan bapa saya, saya pun banyak mengaji di rumah," katanya yang ditemui selepas sidang media supertelemovie Parit Jawa di GSC Signature Gardens, petang semalam.
Anak ketiga pasangan Safura dan Sharonizam Noor itu meninggal dunia pada 12 September dan selepas sembilan hari berikutnya bapanya pula pergi menyahut seruan Ilahi.
Nur Aisyah yang merupakan anak ketiga Safura itu telah meninggal dunia secara mengejut selepas diserang demam panas yang agak kritikal.
Manakala bapanya meninggal dunia selepas dimasukkan hospital beberapa hari sebelum tragedi itu kerana menghidap penyakit tua.
Bagaimanapun, selepas kejadian berkenaan dia masih belum bersedia untuk terus aktif berlakon, malah masih mengambil masa untuk menyelesaikan segala masalah keluarga.
"Selepas apa yang berlaku, saya terpaksa menolak mana-mana tawaran yang datang kerana anak-anak saya yang lain memerlukan saya untuk hadapai kenyataan ini.
"Apatah lagi sekarang ini, saya terpaksa memberi perhatian penuh kepada anak keempat saya iaitu Yusoff Firdaus,1, yang baru-baru ini dimasukkan ke hospital kerana serangan paru-paru berair.
"Selain itu juga, saya perlu menjaga kandungan saya sekarang yang tinggal beberapa bulan sahaja untuk bersalin. Harap semuanya berjalan lancar dan selamat. InsyaAllah," tambahnya yang kini bersama tiga orang anaknya yang lain.
Safura bakal muncul dalam supertelemovie Parit Jawa bersama-sama pelakon lain seperti Eman Manan, Zahiril Adzim dan Ruminah Sidek di Astro Box Office Tayangan Hebat (saluran 952) pada Disember ini.