Ong kim swee akan duduk di tempat penonton selepas digantung satu perlawanan petang ini. Beliau diberitakan tidak dibenarkan guna walkie talkie selepas jurulatih myanmar membuat bantahan
Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee sah tidak akan berada di bangku simpanan pemain ketika skuad bola sepak bawah 23 (B-23) tahun negara membuat perhitungan dengan Myanmar pada aksi separuh akhir temasya Sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno di sini hari ini.CIa gara-gara penggantungan satu perlawanan yang dikenakan ke atas Kim Swee selepas beliau diarah keluar padang ketika barisan Harimau Muda membenam Indonesia 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan A malam kelmarin.
Pada mulanya, Kim Swee dilihat bertikam lidah dengan penjaga garisan dari Korea Selatan, Kim Sung-il di tepi padang sebelum Fahad terus mengarahkannya meninggalkan bangku simpanan pemain. Ketiadaan Kim Swee di tepi padang hari ini menyaksikan pembantunya, Hassan Sazali bertindak sebagai perantara bagi menyalurkan setiap arahan kepada para pemain Harimau Muda.
Biarpun mengemukakan rayuan, Kim Swee tetap mengandaikan peluangnya untuk terlepas daripada hukuman penggantungan satu perlawanan itu amat tipis. Tambah menyulitkan apabila beliau tidak boleh menggunakan walkie-talkie untuk memberi arahan kepada penolongnya, Hassan Sazali Waras selepas mendapat bantahan jurulatih Myanmar, Stefen Hansson.
“Saya tidak boleh menggunakan walkie-talkie dan terpaksa menggunakan orang perantaraan untuk menghantar nota arahan kepada Hassan pada perlawanan itu. “Walaupun tidak ada memberi arahan kepada pemain di tepi padang, ia bukan satu masalah kerana yang mustahak pemain faham situasi esok (hari ini) dan memberi tumpuan kepada strategi yang diterapkan. Saya akan melihat permainan mereka dari atas (tempat duduk penonton) dan jika ada apa-apa arahan yang perlu disampaikan, saya akan terus memaklumkan kepada Hassan,” kata Kim Swee.
Biarpun tidak dapat menemani para pemainnya di bangku simpanan, Kim Swee tidak mahu menjadikan ia sebagai satu alasan buat mereka gagal menampilkan persembahan yang baik.
“Saya sudah melihat video rakaman perlawanan membabitkan Myanmar dengan Timor Leste. Pada perlawanan itu, mereka menampilkan corak permainan secara menyerang. “Pada perlawanan menentang Vietnam pula, apa yang saya lihat mereka mengamalkan corak permainan bertahan. Jadi melalui video rakaman yang telah saya saksikan, Myanmar merupakan sebuah pasukan yang bergerak secara berpasukan.
“Sudah tentu, jika kita mahu menembusi benteng Myanmar, saya perlu menampilkan corak permainan pantas, bukan sahaja larian, malah hantaran juga harus pantas,” katanya.
Kim Swee juga berharap aksi hari ini tidak berlanjutan hingga masa tambahan atau sepakan penalti.
“Melihatkan jadual yang agak padat, saya bimbang jika perlawanan terpaksa dilanjutkan pada masa tambahan, ia akan memberi kesan kepada para pemain. “Bagaimanapun, saya tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan jika perlawanan itu nanti berakhir dengan penentuan sepakan penalti,” jelas Kim Swe.
Di sebalik hukuman terhadap Kim Swee, kem negara mampu menghela nafas lega kerana lapan pemain yang menerima satu kad kuning pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini kembali ‘bebas’. Lapan pemain terbabit ialah kapten, Baddrol Bakhtiar, Izzaq Faris Ramlan, Mahali Jasuli, Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Fandi Othman, Syahrul Azwari, Muhd. Nazmi Faiz Mansor dan K. Gurusamy.