"Bagaimanapun selepas mencubanya, saya mula tertarik dengan sukan kickboxing ini," katanya ketika menghadiri sesi fotografi di Xclusive Fitnesz gym di Stadium Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
"Selalunya saya akan pergi ke pusat sukan yang terletak berdekatan kolej bersama rakan-rakan.
"Walaupun agak sibuk dengan tugasan yang diberikan pensyarah dan jadual penggambaran yang agak ketat, saya tetap akan menjalani latihan ini saban minggu," ujar pelakon drama bersiri Nora Elena ini.
Mengakui dia seorang yang sukar berpeluh, menurut Saleha, dengan sukan ini dia bukan sahaja dapat bersenam tetapi mampu merawat tekanan kerja yang dihadapinya kini.
"Sukan ini mungkin dianggap ganas oleh sesetengah pihak. Bagaimanapun jika kita belajar, ia sangat baik untuk kesihatan," jelasnya
Mengesyorkan agar lebih ramai wanita di luar sana mengambil kelas kickboxing ini sebagai langkah keselamatan, menurut Saleha lagi sukan ini tidak pernah menyebabkan dia bersikap agresif.
"Sukan ini sebenarnya mampu menjaga keselamatan khususnya buat kaum hawa di luar sana.
"Dengan adanya ilmu mempertahankan diri ini, saya lebih yakin dengan diri sendiri," ujarnya yang membintangi telemovie Kekasih Awal dan Akhir arahan Aaron Aziz.
Cinta dan cuti
Bercerita mengenai kehidupan penuh rahsia bagi sesetengah artis, Saleha memberitahu bahawa kisah cintanya bukanlah satu rahsia yang perlu di sorokkan.
"Saya akui saya sedang bercinta dan perhubungan kami sudah lama terjalin.
"Bagi saya tiada sebab untuk saya berbohong dalam hal ini kerana pembohongan hanya akan melukakan hati banyak pihak," katanya jujur.
Bakal menghabiskan masa bersama ibunya di United Kingdom pada bulan hadapan, Saleha memberitahu ini merupakan lawatan mestinya ke negara tersebut.
"Selalunya abang saya, Shamsul (Vokalis Bunkface) akan menyertai saya, namun kali ini dia sibuk dengan kerjanya.
"Saya akan berada di sana selama sebulan dan akan melancong hingga ke Eropah. Bagi saya ini adalah waktu rehat untuk saya setelah sibuk sepanjang tahun ini," katanya ketawa.