Wednesday, November 30, 2011

Hazama terkilan tuduhan lagu Pokok 'lagu kampung' tidak ke AJL26 (GAMBAR)


Penyanyi, Hazama akui agak terkilan dan kecewa apabila lagu Pokok Ciptaan Taja dari kumpulan MUH (Meet Uncle Hussein) gagal tersenarai sebagai antara lima lagu yang dijangka layak ke Anugerah Juara Lagu yang ke 26 (AJL 26).

Meskipun Cinta Teragung iaitu lagu yang dinyanyikannya sendiri pada Separuh Akhir Muzik Muzik 26 berjaya tersenarai dalam lima buah lagu tersebut, namun Hazama berkata dia masih mengharapkan tuah yang sama kepada lagu Pokok.

"Terus-terang saya memang berharap agar lagu Pokok tersenari dalam calon lagu AJL 26. Lagu itu sangat bagus dan saya akui kehebatannya.

"Saya agak terkilan dan kecewa juga. Namun nak buat macam mana, kita terpaksa akur dengan keputusan juri.

"Walaubagaimanapun, saya sangat gembira dan bersyukur apabila lagu Cinta Terangung iaitu lagu saya ketika di Konsert Akhir Akademi Fantasia 9 (AF9) berjaya tersenarai," katanya sebaik saja selepas berlangsungnya Separuh Akhir Muzik Muzik 26 minggu kedua di Plaza Alam Sentral baru-baru ini.

Lagu Pokok yang sepatutnya dinyanyikan oleh penyanyi asalnya iaitu Hazama, bagaimanapun telah dinyanyikan oleh Nubhan pada pertandingan minggu kedua berkenaan.

Selain Hazama, rata-rata penyanyi yang turut serta juga terkejut apabila lagu Pokok gagal mara ke AJL 26.

Antara penyanyi yang agak tidak percaya dengan keputusan berkenaan ialah Atilia Harun dan Monoloque. Bagaimanapun lagu duet mereka Kekanda Adinda telah berjaya mara ke AJL 26..

"Saya sebenarnya terkejut apabila lagu Pokok tidak tercalon kerana sebelum lagu kami diumumkan, saya sangkakan lagu Pokok yang akan dipanggil tetapi sebaliknya.

"Tambahan pula lagu Kekanda Adinda dimumkan pada saat akhir, jadi kami awal-awal lagi berfikir lagu kami gagal.

"Sungguh tidak disangka apabila lagu kami diumumkan layak ke AJL, namun tetap bersyukur dengan pencalonan ini," kata Atilia.

Sementara itu, Hazama walaubagaimanapun menolak tanggapan bahawa kegagalan Pokok ke AJL 26 adalah disebabkan ianya tidak dinyanyikan sendiri oleh penyanyi asalnya.

"Saya akui memang cara pembawakan saya dan Nubhan berbeza kerana masing-masing ada gaya dan kelebihan masing- masing apabila membawakan lagu tersebut.

"Namun, saya menafikan jika kegagalan itu disebabkan oleh Nubhan. Kerana dia sudah melakukan yang terbaik dan mungkin ini bukan rezeki Meet Uncle Hussein," tambahnya lagi.

Selain lagu Cinta Teragung, lagu lain yang telah berjaya tersenarai ke ke AJL 26 menerusi pertandingan minggu kedua ialah Sungai Lui oleh Aizat, Cinta Muka Buku (Najwa Latif) dan Kekanda Adinda (Atilia & Monoloque).

Pemilihan lagu-lagu tersebut telah diadili oleh juri profesional iaitu Azlan Abu Hassan, Yasin Sulaiman, Hazami, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan Azhar Borhan selaku ketua juri.