Wednesday, November 30, 2011

Elaine Daly Bakal Tamatkan Zaman Bujang (VIDEO & 7 GAMBAR)


Pelakon dan hos rancangan bual bicara Bella NTV7, Elaine Daly mengakui sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang jejaka yang bakal membawanya ke jenjang pelamin tidak lama lagi.

Ditemui ketika Malam Gala Malaysian Hairdressing Association, di Hotel Shangri-La di sini malam semalam, Elaine Daly berkata sudah tiba masanya dia menamatkan zaman solo memandangkan ramai teman-temannya yang sudahpun berumah tangga.

"Sudah tiba masanya. Sudah terlalu lama saya bersendirian, mungkin sudah tiba masanya untuk saya berkahwin.

"Memang saya tidak sabar-sabar menanti detik itu. Mungkin dalam masa terdekat ini, kita tunggu sajalah masanya," katanya ringkas namun dengan penuh keyakinan.

Tidak sabar menanti hari bahagia berkenaan, Elaine Daly berkata jejaka yang dirahsiakan identinya itu merupakan seorang yang cukup sederhana bagaimanapun sangat menyayangi dirinya.

Malah daripada raut wajahnya yang berseri-seri, Elaine Daly berkata keluarganya turut merestui hubungan mereka berdua dan atas faktor itu jugalah sebagai seorang wanita dia nyata selesa untuk menamatkan solo bersama jejaka berkenaan.

Tambah Elaine Daly, mereka telahpun merancang untuk meraikan sambutan Krismas bersama-sama diikuti tahun baru di Maghribi pada penghujung tahun ini yang mana akan turut disertai beberapa orang teman rapatnya.

" Tak kiralah sambutan Krismas, tahun baru atau apa juga perayaan, selalunya kami akan meraikan bersama-sama. Bukankah itu akan lebih bermakna lagi apabila ada insan tersayang bersama," katanya yang sedang berada di Pulau Pangkor bagi memenuhi sesi fotografi sebuah majalah libur.

Bercerita mengenai bidang lakonan, wanita yang pernah dikaitkan dengan pelakon kacak Hans Isaac itu berharap agar 2012 memberikan lebih banyak tawaran bagi mengasah ketajamannya sebagai seorang pelakon disegani.


Bukan memilih, namun menurut pemenang Pelakon Drama TV Wanita Terbaik Anugerah Sri Angkasa 2010 itu dia sering kali diberikan dengan peranan yang agak cliché seperti seorang wartawan penyiaran atau watak wanita berani mahupun moden, kerana sebolehnya dia mahu mencuba sesuatu yang lebih mencabar pada masa akan datang.