Thursday, November 24, 2011

"Bukan Trofi Second Hand”, Kami Adalah Mangsa Keadaan – Anuar Zain


“Saya akui perkara ini sesuatu yang pelik dan memalukan saya. Saya sendiri tidak tahu hendak cakap macam mana lagi. Saya sendiri berfikir, bagaimana mahu berdepan dengan Yuna, diri sendiri dan orang ramai bila diberi tahu dengan berita ini. Sejujurnya dalam hal ini, kami berdua telah menjadi mangsa keadaan,” ujar Anuar Zain mengulas tentang isu penarikan semula trofi kemenangan Yuna menerusi kategori Lagu terbaik yang sepatutnya adalah milik lagu nyanyiannya, ‘Sedetik Lebih’ ciptaan Edry Abdul Halim.

Anuar  yang ditemui ketika majlis sidang media bagi membetulkan keputusan Lagu Terbaik AIM18 petang semalam, secara peribadi juga berpendapat sekiranya perkara ini didiamkan saja tidak mengapa apatah lagi jikalau anugerah ini tidak diberikan semula kepadanya dan Edry, memandangkan berat untuk dirinya menerima perkara ini lebih-lebih lagi memikirkan perasaan dan mengormati Yuna.
“Namun kerana menghormati pihak penganjur yang mengakui kesilapan mereka, lalu saya dengan hati terbuka hadir dan menerimanya,
“Ini merupakan kesilapan paling besar dalam sejarah industri hiburan tanah air, dan agak malang bila saya terpalit sama dalam sejarah ini. Tapi saya menerima penghargaan ini dengan fikiran positif agar industri seni tanah air dapat berkembang baik pada masa hadapan,”
Tambah Anuar lagi, dia tidak mahu dengan pembetulan ini, orang luar menganggap saya dan Edry mempertikaikan kemenangan Yuna walhal dia sendiri redha dan menerima kemenangan Yuna dengan hati terbuka ketika lagu ciptaan ‘Penakut’ diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik pada malam AIM 18, 12 November lalu.
“Saya tahu insiden ini telah mencetus pertikaian ramai pihak, bahkan orang di luar sana yang tidak tahu cerita sebenar akan terus-terus menghakimi, membuat spekulasi, tidak kurang juga ada kalangan peminat kami yang saling bertelingkah atas isu ini.Walaupun sukar bagi kedua-dua pihak, namun anugerah ini kembali kepada yang berhak dan sebagai pemuzik, kami tampil demi mempertahankan maruah.”
Menjawab soalan mengenai segelintir komen-komen negatif orang luar di laman twitter yang memperkatakan pemulangan trofi daripada tangan Yuna kepada Anuar tidak ubah seperti trofi ‘second hand’, Anuar merasakan isu tersebut tidak sepatutnya wujud.
“Trofi second hand? Saya merasakan istilah tersebut tidak seharusnya wujud langsung dalam kes ini. Pada saya ia kenyataan yang menggelikan hati saya kerana anugerah ini cuma pulang kepada yang berhak.
“Apa yang terjadi ini adalah iktibar kepada semua dan berharap tidak berlaku lagi kejadian seumpama ini yang boleh menjejaskan kredibiliti AIM dan RIM sehingga dipertikaikan, apatah lagi insiden seperti ini boleh jadi mengocak kepercayaan pemuzik kita kepada AIM dan RIM,” katanya.
“Saya puji keberanian yuna, kerana berani hadir pada hari ini meskipun saya tahu ini adalah sesuatu yang sukar untuk dihadapi. Dia datang dengan penuh bermaruah dan rasa rendah diri dan saya lebih menghormati Yuna,

“Bagi saya Yuna adalah seorang pemuzik yang penyanyi yang berbakat besar bahkan seorang pemuzik yang educated, saya mendokan agar dia tidak berputus asa dan terus menghasilkan karya yang terbaik,” ujar Anuar akhiri perbualan.