Wednesday, October 5, 2011

Alyah temui Chocolate (GAMBAR)



MENYUSUP perlahan di bawah lembayung seni semenjak ditabal sebagai sang juara Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) terbitan stesen penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun 2000, Alyah, 30, tidak lekas mengalah dalam mengharungi ranjau dan duri dunia seni. Bahkan, si genit itu semakin deras mencatur langkah.


Lebih sedekad berkarya di laman seni, akhirnya penyanyi bersuara lantang itu berjaya mengejutkan peminatnya menerusi kualiti lagu dan vokal menerusi lantunan Tak Mungkin Kerna Sayang, single pertama daripada album pertamanya, Alyah.



Setelah tumpuan berjaya dicuri dari hati peminat, figura pemilik nama Noor Hasliah Abu Hasan itu kini meniti di landasan yang tepat.
"Pengalaman lampau banyak mengajar Alyah untuk menjadi individu yang cekal sebenarnya," luahnya pada pertemuan singkat di Dataran Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang baru-baru ini.
Belajar daripada sejarah silam, penyanyi lagu Kisah Hati itu kini sedang berkira-kira untuk mencari klon buat pengganti dirinya kelak.
Maka, hasilnya kini sudah ada di depan mata. Kumpulan Chocolate yang terdiri daripada tiga orang gadis yang dipilihnya sendiri daripada sesi uji bakat sudah terbit dengan single pertama berjudul, Boomerang. Alyah turut berkolaborasi dengan Chocolate untuk lagu itu.
"Boomerang senang saja pengertiannya, ibarat sesuatu perbuatan yang kita lakukan akan kena pada kita semua, sama seperti permainan boomerang itu sendiri," cerita Alyah mengenai lagu ciptaan Audi Mok dan Omar K serta liriknya oleh Ed Samad.
Single itu akan memulakan pembikinan klip videonya pada bulan Oktober ini dan album penuh Chocolate pula dijangka siap pada akhir tahun ini.
Chocolate sebenarnya terdiri daripada tiga orang gadis yang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor. Mereka terpilih daripada sesi uji bakat yang dijalankan oleh syarikat rakaman milik Alyah, Like Music Entertainment.

ALYAH kini meneruskan langkah untuk lebih maju dalam karier seninya.

"Daripada 25 orang yang hadir uji bakat, hanya tiga yang saya pilih iaitu Eeza (Nur Shafreeza Zainal Abidin), 18, Melly (Melley Matius), 23, dan Pam (Nadia Parmila Yunus), 24, pemilihan dibuat bukan hanya bersandarkan rupa tapi juga bakat."
Memandangkan Alyah sudah banyak meraih pengalaman dalam mengharungi duri dan ranjau dunia seni suara tanah air, dia cukup prihatin dengan masa depan Chocolate.
"Tahan banting! Itu yang Alyah tekankan kepada anggota Chocolate, setelah banyak dugaan yang Alyah lalui begitu jua kekebalan yang Alyah mahukan daripada mereka," katanya yang tidak sesekali membebankan anggota kumpulan itu apatah lagi mengganggu pelajaran mereka.
Ditanya adakah kumpulannya memiliki kriteria yang sama seperti beberapa kumpulan anak muda yang baru tumbuh di negara ini, Alyah menjawab ketiga-tiga anggota kumpulan itu ada cara pembawaan dan stail sendiri.
"Alyah carikan pereka pakaian mereka sendiri, perunding imej dan konsep muzik yang mereka bawakan lebih kepada retro pop, contohnya jelas dapat didengar melalui single, Boomerang.
"Alyah juga paksa mereka untuk menjadi berani!" jelasnya lagi yang pernah tampil dengan single, Ku Pinjam Satu Bintang bersama Riz AF6.


Tanggungjawab sebagai ibu
Dalam pada sibuk dengan kegiatan seninya, Alyah rupa-rupanya tetap menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Jangan silap faham, Alyah sebenarnya menjadi ibu kepada dua orang anak angkatnya, Mohd. Al ,6, dan Naziatul Afiqah,3.


Ditanya penerimaan Alyah andainya kedua-dua permata hatinya itu akan turut terlibat dalam bidang seni sama sepertinya, ungkap Alyah: " Saya tidak kisah asalkan ilmu penuh di dada. Alyah mahu mereka menjadi seorang penghibur yang berdaya saing dan lengkap dengan pengetahuan."
Oleh kerana kesibukannya kini, kedua-dua anak angkatnya itu kini dijaga oleh ibunya di Gelang Patah, Johor.
"Tapi Alyah akan pastikan setiap hari akan bercakap dengan mereka walaupun sekejap, sekadar melepas rindu kata orang," getusnya yang teruja memikirkan masa depan kedua-dua anak angkatnya.

No comments:

Post a Comment