Dalam kesibukannya menjaga ibunya yang sedang sakit, Hans masih sibuk mengemudi syarikatnya, Tall Order Productions bagi menerbitkan drama-drama untuk stesen televisyen dan merancang untuk menerbitkan sebuah filem pada bulan Oktober depan.
“Filem Lemak Kampung Santan akan memulakan penggambaran pada 8 Oktober depan. Ia sebuah filem komedi romantik yang akan dibintangi oleh pelakon baru meningkat naik, Neelofa dan Scha Alyahya. Saya sukakan skrip filem ini yang akan mengejutkan penonton pastinya,” tambah Hans yang akan memegang peranan utama dan pengarah filem tersebut.
Diusik pertanyaan mengapa Hans memilih Neelofa sebagai teraju utama wanita, jelas Hans ada tiga sebab utama mengapa dia memilih pelakon kontroversi itu.
“Pertama, Neelofa hadir ke sesi ujibakat dan sewaktu sesi berlangsung kami memerhatikan wajahnya di kamera. Dia ada x-factor pada wajahnya yang sangat “innocent”. Saya berbincang dengan Harith dan mengatakan Lofa ada sesuatu dan saya yakin. Kedua, sewaktu sesi latihan dia sering bertanya soalan dan tidak malu untuk memperbaiki mutu lakonannya. Dia BBM saya pukul 1 pagi hanya untuk bertanya tentang watak dan saya lihat ada kesungguhan pada pelakon itu. Dan ketiga, dia membaca skrip dengan baik dan tidak semua pelakon mampu melakukannya. Caranya menterjemah skrip sangat bagus,” jelas Hans panjang lebar mengenai pemilihan Neelofa.
Hans baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk drama bersiri Tujuh Gerhana bersama Vanidah Imran. Sebelum meneruskan tugasnya sebagai pengarah untuk Lemak Kampung Santan, Hans akan membintangi sebuah filem gangsterisme yang bertajuk Langgar dan diarahkan oleh Pierre Andre.
No comments:
Post a Comment