Wednesday, June 20, 2012

Anuar Zain dakwa ada stesen radio memusuhinya


PENYANYI vokal mantap, Anuar Zain, 42, mahu stesen radio tempatan mengemukakan bukti hasil kaji selidik lagu pilihan pendengar bagi mengelak timbul isu pilih kasih selain merungkai kemusykilan berhubung amalan itu.

Anuar yang pertama kali mengulas itu berkata, dia keliru dengan kehendak stesen radio tempatan dalam memilih lagu untuk dimainkan juruhebah.

Apa yang saya luahkan ini bukanlah disebabkan emosi atau kecewa kerana lagu saya tidak kerap diputarkan. Tetapi apa yang saya lakukan ini adalah kerana saya sendiri keliru dengan kehendak stesen radio itu sendiri. - Anuar Zain, Penyanyi “Apa yang saya luahkan ini bukanlah disebabkan emosi atau kecewa kerana lagu saya tidak kerap diputarkan. Tetapi apa yang saya lakukan ini adalah kerana saya sendiri keliru dengan kehendak stesen radio itu sendiri. Muzik bagaimana yang mereka mahu?

“Tugas stesen radio adalah menjadi medium untuk memutarkan lagu sebagai hiburan pendengar. Malangnya, mereka pula yang berperanan sebagai penapis dalam menentukan lagu mana yang boleh diputarkan di stesen terbabit.



“Supaya isu ini tidak terus mengelirukan pendengar, jika mereka (stesen radio) ada bukti mengenai kaji selidik yang dijalankan, sila tunjukkan bukti,” katanya pada pada majlis pelancaran album terbarunya, Anuar Zain di Bangsar, semalam.

Anuar berkata, disebabkan amalan pilih kasih serta peranan radio yang semakin tersasar, dia tidak lagi mendengar medium hiburan dan informasi itu. 
“Terus terang, saya sudah lama tidak mendengar radio. Lebih dari lima tahun rasanya. Saya buat begitu kerana saya sudah tidak mempunyai minat untuk mendengar kebanyakan lagu yang diputarkan kerana konsepnya hampir sama saja... Tiada jiwa.


“Ada ketika, saya teringin mendengar lagu nasyid, dangdut dan jazz. Tapi semua lagu itu sudah tidak banyak diputarkan atas alasan tidak menepati cita rasa pendengar,” katanya.

Ditanya apakah dia tidak bimbang kenyataan itu boleh mengguris hati pihak tertentu malah membawa kepada kemungkinan ‘digam’ stesen radio, Anuar menjelaskan dia tidak kisah jika ia berlaku.

“Selama ini, saya tidak pernah bersuara. Tapi apabila melihat perkara ini semakin menjadi-jadi, saya terpanggil untuk menyuarakan rasa hati. Luahan saya ini bukanlah untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi sebagai satu teguran buat mereka.

“Terpulanglah kepada mereka. Jika mereka bersikap ego dan tidak mahu menerima teguran serta mahu ‘gam’ saya, saya tak kisah. Ini adalah negara demokrasi dan saya berhak meluahkan perasaan tidak puas hati ini,” katanya.

Mengulas punca album terbarunya itu lewat dipromosikan malah hanya dilancarkan selepas enam bulan dipasarkan, Anuar berkata:

“Kebetulan, ketika album ini dipasarkan November lalu, saya menghadapi masalah mencari pengurusan baru serta terbabit dengan pelbagai acara. Ini membuatkan promosi album ini terpaksa ditangguhkan.

“Bagaimanapun, saya tak kisah album ini lambat dipromosikan kerana saya lebih suka ia dibuat secara santai dan tidak tergopoh gapah,” katanya.

No comments:

Post a Comment