Saturday, May 12, 2012

Projek Mega Petrokimia di Johor wujud 50 ribu pekerjaan


KUALA LUMPUR - Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) bernilai berbilion ringgit di Pengerang dan aktiviti limpahannya akan mewujudkan ribuan pekerjaan semasa kemuncak pelaksanaannya.

Ketua Pegawai Operasi Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata antara 40,000 dan 50,000 pekerja diperlukan semasa tempoh pembinaannya bagi membina kemudahan penapisan, loji petrokimia dan infrastruktur berkaitan.

Kompleks itu sendiri memerlukan kira-kira 4,000 pekerja teknikal terlatih sebaik ia mulai beroperasi secara progresif dari akhir 2016.

Petronas telah mengambil 400 jurutera pada tahun ini bagi projek itu, katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dijadual melancarkan Rapid esok, iaitu tepat setahun selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pertama kali mengumumkan projek itu pada 13 Mei tahun lepas. Pelaksanaan Rapid oleh Petronas melibatkan pelaburan US$20 bilion, dengan penglibatan syarikat-syarikat minyak, gas dan petrokimia sebagai rakan kongsi yang berpotensi.

Tapak seluas 2,000 hektar di Pengerang sesuai disebabkan lokasi strategiknya berdekatan laluan perkapalan antarabangsa dan merupakan kawasan paling dalam di Semenanjung Malaysia dan terlindung.



Wan Zulkiflee berkata faktor itu kondusif bagi kemudahan pelabuhan air dalam, yang membolehkan kapal minyak mentah sangat besar (VLCC) dan kapal jenis lain untuk berlabuh bagi mengangkut minyak mentah dan produk.

"Jaraknya yang dekat dengan pusat permintaan serantau (Asean, China dan India) juga dijangka menarik potensi jalinan dengan rakan kongsi global di dalam bidang logistik dan pengagihan produk," katanya.

Kilang penapisan berkenaan akan mempunyai kapasiti 300,000 tong sehari, mengeluarkan bahan api gred tinggi yang memenuhi spesifikasi Eropah serta membekalkan bahan mentah kepada kompleks petrokimia bagi pengeluaran pelbagai produk seperti kimia khusus.

Projek itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan enjin pertumbuhan baharu bagi Malaysia dan mewujudkan perniagaan dan peluang pekerjaan baharu yang akan meningkatkan pendapatan dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.


"Sebagai contoh, semasa tempoh pembinaan, dengan menggunakan 50,000 pekerja, anda akan melihat keperluan mendapatkan perkhidmatan seperti pengangkutan, perumahan, makanan, hospitaliti, dan perubatan," katanya.

Bagi tempoh jangka panjang, Wan Zulkiflee menjangka Rapid akan menjadi pemangkin pertumbuhan pembekal, penyedia perkhidmatan dan penyelenggaraan tempatan bagi menyokong operasi kompleks itu.

"Banyak perhatian diberi kepada potensi peluang semasa pelaksanaan Rapid.

Tempoh pasca pentaulihan juga sangat penting kerana kompleks itu akan memerlukan banyak pelbagai perkhidmatan sokongan sepanjang tempoh operasinya," katanya.

Baru-baru ini, Petronas telah menadatangani Kepala Perjanjian dengan pelbagai kumpulan kimia, BASF, bagi memiliki, membangunkan, membina dan mengendalikan kemudahan pengeluaran secara bersama-sama bagi mengeluarkan kimia khusus dan kilang pengeluaran bahan awalan di dalam kompleks Rapid itu.

Kemajuan juga dilaksanakan di dalam pelbagai aspek teknikal dan komersil yang lain projek itu bagi membolehkan Petronas "memutuskan keputusan pelaburan muktamad (FID) menjelang pertengahan 2013," kata Wan Zulkiflee.

Menjelang waktu itu, ia akan menjelaskan lagi mengenai rakan kongsi Petronas di dalam projek itu.

Selain kerja praFID, tiada kontrak lain telah ditenderkan atau diberikan. 

Petronas akan memulakan eksersais prakelayakan bagi pelbagai pakej tender bagi projek itu mengikut peringkat, di mana yang terbaharu dijangka diadakan dalam suku ketiga tahun ini. - Bernama




No comments:

Post a Comment