Saturday, May 12, 2012

PM bubar Parlimen, Pilihanraya Umum 9 Jun?


SHAH ALAM - Selepas spekulasi lebih setahun, mengambil kira ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan ulang tahun Umno ke-66 kelmarin, teka-teki terbaru menyebut Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, esok, untuk mendapatkan perkenan membubarkan Parlimen.

Malah, laporan-laporan blog dan SMS disebar luas mengatakan Parlimen akan dibubarkan Selasa ini manakala penamaan calon akan berlangsung pada 26 Mei dan diikuti dengan tarikh pengundian pada 9 Jun - dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Ramalan itu turut mengambil kira cuti sekolah dua minggu bermula 28 Mei.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, Perdana Menteri akan bubar Parlimen Isnin,” kata seorang pemimpin kanan parti komponen kepada Sinar Harian, semalam.

“Nampak gaya Perdana Menteri lebih yakin ekoran sambutan diberikan oleh ahli-ahli Umno,” katanya lagi.

Ketika ditanya Najib akan berada di United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk menghadiri majlis konvokesyen dan kemudian bercuti, pemimpin itu menambah, “itu satu rutin, ini perkara lebih penting.”

Apabila diajukan soalan yang sama, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional di Parlimen, Datuk Bung Moktar Radin berkata, pihaknya kini berada di paras “cukup bersedia” untuk menghadapi PRU13.

“Saya tidak terkejut jika Parlimen dibubarkan minggu depan, apa pun keputusan akhir di tangan PM,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.

Beliau yang turut menghadiri sambutan ulang tahun ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil berkata, mesej perhimpunan kali ini menunjukkan “pilihan raya sudah semakin dekat.”

“Memang pilihan raya sudah dekat. Hanya tunggu untuk mendengar semboyan PRU,” katanya lagi.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, “berdasarkan apa yang saya dapat lihat semalam, nampaknya Umno kini sudah bersedia.”

Ibrahim juga berkata beliau tidak hairan jika Najib, selaku Pengerusi BN memutuskan untuk membubarkan Parlimen minggu ini.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang seiring dengan pandangan beliau pula berkata: “PRU13 akan diadakan sebelum Ramadan... awal bulan Jun.”

Bagaimanapun Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melihat mesej bahawa Najib akan menghadap Agong “hanya satu gurauan”.

“Apapun gurauan ini juga boleh menjadi realiti (diadakan PRU13 lebih awal), apapun boleh terjadi,” kata pemimpin dari Sarawak itu.

Menurut Wan Junaidi, selepas menyelesaikan siri isu dan masalah, Najib mempunyai satu lagi perkara penting untuk ditangani iaitu projek nadir bumi Lynas di Pahang.

“Saya fikir Najib mahu menyelesaikan kesemua masalah yang ada dengan baik. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen hanya akan membentangkan laporan pada awal Julai ini... jadi, saya fikir paling cepat pun awal pada Julai sebelum Ramadan atau selepas Aidilfitri, sekitar September,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment