Tuesday, May 15, 2012

Mahathir syor pilihanraya lepas hari raya


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mampu mencapai kejayaan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-13 berbanding pada 2008. Menurut beliau, ini berdasarkan petanda-petanda baik khususnya sokongan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan BN.

Namun, jelasnya, ia bergantung kepada Najib mencari tarikh sesuai untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan BN mencapai objektif mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga. ''Sudah tentu beliau mahu mencapai majoriti dua pertiga.

Saya juga berpendapat beliau akan dapat melakukan yang terbaik berbanding pilihan raya umum lalu,'' katanya selepas menghadiri pelancaran Ikon Membaca Kebangsaan dan Penyemarakan Kempen Nilai-Nilai Murni 1Malaysia di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini hari ini. Pada majlis yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, beliau dilantik sebagai Ikon Membaca Kebangsaan 2012.

Dr. Mahathir yang ditanya tentang masa terbaik untuk Najib membubarkan Parlimen berkata: ''Saya rasa selepas raya (Aidilfitri).'' Menjawab soalan sama ada perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lalu akan memberi kesan terhadap pilihan raya umum akan datang, kata beliau, rakyat mula faham bahawa perhimpunan itu dianjurkan bukan bertujuan menuntut pembaharuan pilihan raya. ''Ia sekadar mahu menggambarkan kerajaan kini kononnya adalah kerajaan menindas dan polis bersikap kejam. Mereka tahu mereka tidak akan menang dalam pilihan raya akan datang. ''Mereka mahu rakyat melihat demonstrasi di Dataran Tahrir, Kaherah yang berjaya menumbangkan kerajaan Mesir dan itulah yang mereka mahu lakukan di sini,'' katanya. Mengenai khabar angin yang mengatakan anaknya, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir bakal dilantik Menteri Besar Kedah jika BN berjaya merampas negeri itu nanti, jelasnya, ia bergantung kepada pucuk pimpinan parti. ''Saya tidak mahu cakap apa-apa tentang anak saya. Apa yang penting ialah apa sebenarnya yang pucuk pimpinan mahu terhadapnya,'' katanya. Terdahulu semasa memberikan ceramah sempena pelantikannya sebagai Ikon Membaca Kebangsaan, beliau menggesa umat Islam supaya menghayati suruhan membaca oleh Allah seperti yang tercatat di dalam al-Quran.

No comments:

Post a Comment