Tuesday, May 15, 2012

Siti Nurhaliza kongsi 12 rahsia hidupnya


Istimewa buat peminat setia penyanyi tersohor negara, Dato’ Siti Nurhaliza, kali ini GUA bongkarkan 12 rahsia pelantun lagu ‘Cindai’ dan ‘Aku Cinta Padamu’ ini dalam segmen 12 GUA minggu ini. Mengakui cair dengan anak saudaranya seramai 13 orang itu di mana beliau akan selalu membeli baju untuk mereka, pengasas produk SimplySiti ini turut memberitahu gemar mengumpul set ‘manicure’ kerana mengakui merasakan dirinya seperti pakar bedah apabila menyimpan alat-alat seperti itu. Ingin tahu apa lagi perkara menarik mengenai isteri kepada Datuk Khalid Mohd Jiwa ini, jom saksikan senarai di bawah.

1. Siti mengakui seorang yang geli kepada lipas. Pernah ketika zaman kanak-kanak sewaktu di berek polis, Siti memberitahu serangga itu berjalan di atas mukanya. Sehingga sekarang, penyanyi itu akan pastikan lipas telah mati ataupun tidak berada dalam biliknya. Apabila sudah pasti, baru beliau boleh tidur dengan aman.

2. Umum mengetahui Siti pernah menjual kuih seperti donut dan karipap sardin pada zaman kanak-kanaknya. Menurut pelantun lagu ‘Nirmala’ ini, beliau turut mengajar pembantu rumahnya itu cara membuat kuih tersebut bagi memudahkan beliau apabila teringin memakannya.

3. Jangan tidak tahu, penyanyi cantik ini gila mengumpul cadar sejak dari dulu. Difahamkan, penyanyi lagu ‘Percayalah’ ini gemar mengumpul cadar berwarna putih dan cerah. Walau bagaimanapun, Siti mengakui sudah mengurangkan tabiatnya itu.

4. Siti turut berkongsi di mana sebelum berkahwin, pernah ada lelaki psiko mengikutnya. Lelaki tersebut akan sentiasa tenung dan tengok Siti dan pernah sekali, Siti menerima hadiah tuala wanita dari peminat ‘psiko’nya itu.

5. Adik kepada Saida ini memberitahu mempunyai persamaan dengan ibu mertuanya iaitu tidak suka memakan kuning telur.

6. Penyanyi ini mempunyai satu tabiat iaitu suka menghidu makanan yang pelik untuk tahu apa bahannya. Siti juga tidak cerewet dalam pemakanan dan memberitahu berani mencuba apa saja makanan yang pelik.

7. Impian Siti adalah untuk menjadi pereka fesyen. Siti memberitahu mempunyai mesin jahit di rumahnya dan suka menjahit bila ada kelapangan. Mempelajari teknik menjahit ketika di sekolah, Siti mengakui pandai menjahit selendang dan pernah berjaya mengecilkan bajunya.

8. Kakak kepada Saerah ini teringin melakukan ‘bungy-jumping’ namun sehingga kini, beliau mengakui tidak berani lagi untuk mencubanya.

9. Siti mengakui ‘dating’ dengan Datuk K melalui ‘Yahoo Messenger’.

10. Penyanyi lagu ‘Nian Di Hati’ ini suka membeli baju dan terus memakainya waktu itu juga. Ada juga di mana beliau suka membeli baju baru, tetapi tidak memakainya dan memberikan kepada orang lain.

11. Siti mengakui tidak pandai menghias rumah di mana kelebihan itu ada pada suaminya, Datuk K. Menurut Siti, Datuk K sangat kreatif dan pandai dalam menghias sudut rumah mereka.

12. Siti pernah mencuri betik muda di kawasan berek polis sewaktu zaman kanak-kanaknya. Kesan dari perbuatannya itu, bibir Siti gatal apabila memakannya.

No comments:

Post a Comment