Saturday, December 17, 2011

Showdown 2012 di 8tv, Joe Flizzow, Maple Lee kekal juri


SHOWDOWN 2012 sudah memulakan pencarian bakat baharu dalam bidang tarian untuk program realiti ini.

PROGRAM realiti popular Showdown yang memenangi pelbagai anugerah seperti Program TV Popular di Shout! Awards 2010, Program Realiti Terbaik di Anugerah Skrin 2010 dan 2011 serta Anugerah Sri Angkasa 2010 kembali lagi untuk musim yang ketiga.

Program pencarian krew tarian terbaik negara dalam Showdown 2012 bakal lebih meriah daripada sebelumnya. Tahun ini pihak 8TV membikin eksperimen dengan melakukan uji bakat secara talian menerusi video yang dihantar bermula 1 November sehingga 21 November 2011 lepas.

Cubaan pertama itu membuahkan hasil apabila 30 krew tarian telah menghantar kiriman video tarian mereka dan hanya empat krew tarian yang layak ke peringkat seterusnya dengan mudah.

Menurut juri tetap program ini Joe Flizzow dan Maple Loo, kelebihan krew tarian yang dipilih secara talian adalah mereka terus layak ke peringkat Battle.

“Walaupun begitu, mereka masih perlu melalui peringkat The Meltdown untuk menempatkan diri mereka dalam 12 krew terpilih untuk siaran secara langsung Showdown 2012,” ujar Maple Loo.

Tambah Joe, Showdown musim ketiga mempunyai standard yang lebih tinggi berbanding dua musim sebelum ini.

“Kami mencari krew tarian yang lebih baik daripada Wakaka Crew (musim pertama) dan Elecoldxhot (musim kedua).

“Bagi peserta musim ketiga, agak sukar untuk mereka kerana dua juara sebelum ini telah meletakkan standard yang cukup tinggi dan mereka harus lebih baik daripada peserta sebelum ini,” ujar Joe.

Maple menjelaskan, meskipun program ini pada mulanya lebih terarah untuk mencungkil bakat krew tarian jalanan, namun kini ia lebih terbuka dan mencari krew tarian terbaik dalam apa sahaja jenis tarian.

“Contoh yang paling jelas adalah Giler Battle Crew yang bermula hanya dengan tarian Break Dance berubah menjadi krew tarian yang mampu membuat pelbagai jenis tarian.

“Jadi, untuk peserta musim ketiga, mereka perlu lebih kreatif, tarian harus lebih harus sempurna, bijak menarik perhatian penonton dan harus diingat imej juga sangat penting,” kata Malple.

Peserta empat teratas daripada musim sebelum ini tidak dibenarkan bertanding kecuali jika mereka menubuhkan krew tarian baharu dengan hanya dua ahli asal.


JOE FLIZZOW dan Maple Lee kekal di kerusi juri.

Bagi mereka yang tidak berjaya atau tidak sempat untuk menghantar video uji bakat secara talian, mereka boleh menjalani uji bakat secara terbuka yang dijalankan pada 18 Disember 2011 depan di Aras Bawah, KL Live Center, Kuala Lumpur bermula pukul 9 pagi sehingga 3 petang.

Seterusnya sesi Battle akan berlangsung pada 19 Disember di lokasi yang sama dan pendaftaran bermula pada pukul 9 pagi.

Program ini terbuka kepada semua peringkat usia. Bagi peserta yang di bawah umur disyaratkan untuk meminta pengesahan daripada ibu bapa masing-masing terlebih dahulu.

Showdown 2012 menemui penonton bermula 4 April depan di 8TV bakal menyaksikan 12 krew bertanding dan disingkirkan setiap minggu menerusi pusingan penentuan yang dipanggil dance off.

Empat kumpulan terakhir yang berjaya ke peringkat final akan mempersembahkan tarian dengan stail kump-ing, lock-ing dan break dance sebelum dijulang sebagai juara.