Friday, December 16, 2011

Jimmy Shanley Papar Keburukan Isteri


SHAH ALAM, 16 DIS 2011: Perbicaraan pada hari pertama di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam semalam berhubung kes tuntutan personaliti TV, Jimmy Shanley, 31 yang mahukan isterinya kembali taat menyaksikan bekas pengacara Akademi Fantasia itu mendedahkan tabiat buruk isterinya.

Laporan akhbar Harian Metro dan Kosmo memetik, Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Norjahan Salleh mendedahkan isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, masih ketagih judi dan rokok walaupun berjanji untuk menjadi isteri solehah dan meninggalkan tabiat itu selepas berkahwin pada 1 Oktober 2010.

Bagaimanapun , Suhaila menurut Jimmy tidak mengotakan janji itu, sebaliknya tidak melaksanakan tanggungjawabnya untuk melayan suami dan ingkar apabila disuruh tinggal bersama-samanya selepas berkahwin.

Jimmy ketika disoal peguam Syarie yang mewakilinya, Mohd. Noor Aizan Md Idrus mendakwa Suhaila bukan sahaja bermain judi daun terup malah pernah bertaruh di Internet ketika berada di rumah keluarga wanita itu di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Petaling Jaya pada hari kedua pernikahan mereka.

Keadaan diburukkan lagi apabila sikap Suhaila yang gemar melayan laman sosial Facebook (FB) dan khidmat pesanan ringkas BlackBerry (BBM) hingga wanita itu tidak mengendahkan permintaannya untuk bersama pada hari itu.

"Sebelum bernikah, dia berjanji untuk meninggalkan tabiat buruk itu dan melayan saya 24 jam. Oleh sebab itulah saya bersetuju untuk berkahwin.

"Bagaimanapun, ia tidak berubah selepas kami berkahwin kerana Suhaila masih berjudi hinggakan layanan terhadap saya terhad. Dia juga enggan berada di rumah saya yang tiada kemudahan broadband (jalur lebar)", dakwa Jimmy lagi.

Jimmy menambah lagi, Suhaila kemudiannya menghilangkan diri bersama bekas kakak ipar dan teman baik untuk berjudi pada malam sambutan hari lahir bapa mentuanya itu pada 11 Oktober tahun lalu. Apabila pulang, Suhaila memberi alasan yang dia berjudi untuk menghilangkan tekanan.

Jimmy telah memfailkan perintah kembali taat diikuti permohonan nusyuz terhadap Suhaila, masing-masing pada 3 dan 27 Januari lalu.

Mereka berdua kemudian dilaporkan tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010 atau hanya 20 hari selepas mereka bernikah di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh.

Hasil perkahwinan singkat itu, Suhaila yang juga anak jutawan produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim, melahirkan bayi perempuan Zahra Rania yang kini berusia dua bulan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Saharuddin Selamat bersambung pada 23 Februari dan 5 Mac tahun depan.