Friday, December 16, 2011

Lisa Surihani Bantu Mangsa Banjir


KUALA LUMPUR, 16 DISEMBER 2011: Mengharapkan lebih ramai yang tampil ke hadapan memberi sumbangan buat mangsa banjir tanah air, pelakon jelita, Lisa Surihani tidak ketinggalan menghulurkan bantuan.

Dia yang dihubungi portal murai.com.my berkata, sewajarnya aktiviti amal berkenaan dilakukan bersama-sama bagi meringankan beban mereka yang sangat mermerlukan.

Jelas Lisa Surihani, mangsa bencana alam, merupakan satu perkara yang berlaku di luar kehendak masyarakat dan sebagai warga negara yang bertanggungjawab saling membantu adalah perkara yang perlu dilakukan.

"Saya rasa masyarakat di luar sana perlu sama-sama mengambil bahagian untuk membantu mangsa banjir. Walaupun kadang kala mereka menerima bantuan daripada pihak kerajaan, namun sebagai masyarakat yang prihatin kita tidak boleh membiarkan saja mereka.

"Apa yang kita mampu, sewajarnya kita sama-sama membantu untuk meringankan bebanan mereka. Kita belum pasti di masa depan kita. Mungkin kita akan berdepan dengan perkara yang lain,"katanya ketika menghadiri majlis penyampaian sumbangan Flood Relief Ops kepada askar Wataniah di Mydin Subang, di sini pagi tadi.

Hadir sama pada majlis berkenaan iaitu produser filem popular, David Teo yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group.

Tambahnya sebagai artis dan juga merupakan platun seni askar Wataniah, dia turut terpanggil untuk sama-sama membantu mangsa banjir menerusi beberapa siri bantuan kemanusian yang dilakukan mereka.

"Sejak menyertai askar Wataniah, saya rasa terpanggil untuk turut sama menyertai mereka dalam siri bantuan kemanusiaan. Meskipun saya sibuk, saya akan tetap memberikan sokongan dan bantuan daripada segi kewangan. Kalau berkesempatan saya akan menyertai mereka kelak," katanya lagi.

Ucap Lisa Surihani lagi, dia amat berharap, bantuan misi kemanusian itu akan berterusan dan mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada semua pihak.