Thursday, December 15, 2011

JCorp beli semula ekuiti KFC bernilai RM5.2 bilion


Restoran-restoran makanan segera KFC cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan menjana perolehan lebih RM2 bilion setahun.

KUALA LUMPUR - Johor Corporation (JCorp) dan CVC Capital Partners (CVC) menerusi entiti yang diwujudkan untuk tujuan khas, Massive Equity Sdn. Bhd. (ME), telah menyerahkan surat tawaran kepada Badan Pengarah KFC Holdings (M) Bhd. (KFCH) dan QSR Brands Bhd. (QSR) untuk mengambil alih 100 peratus perniagaan dan aktiviti perusahaan kedua-dua syarikat tersebut, termasuk semua aset dan liabiliti.

Tawaran tersebut bertujuan untuk menggabungkan kesemua aktiviti dagangan KFCH dan QSR yang memiliki rangkaian restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan India untuk membentuk satu perniagaan runcit makanan serantau.

ME menawarkan RM4 bagi setiap unit saham KFCH dan RM6.80 bagi setiap unit saham QSR, melibatkan nilai sejumlah RM3.2 bilion untuk KFCH dan RM2 bilion untuk QSR.

CVC merupakan sebuah firma ekuiti persendirian antarabangsa, menguruskan dana bernilai lebih AS$44 bilion (RM140 bilion). CVC telah melengkapkan lebih 250 pelaburan yang melibatkan pelbagai jenis industri dan negara manakala CVC Asia Pasifik merupakan salah satu pelabur ekuiti paling aktif di rantau ini dan sedang melaburkan dana khusus untuk Asia bernilai AS$6.8 bilion (RM21.6 bilion).