Saturday, December 17, 2011

Honda CR-Z Hot-hatch hibrid yang mengujakan (7 GAMBAR)

 CR-Z menawarkan pemanduan yang responsif sama ada di laluan bandar ataupun lebuh raya.

TANPA disangka, model hibrid terbaharu yang ditawarkan oleh Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia), CR-Z mendapat sambutan hangat. Sasaran jualan 100 unit sehingga hujung tahun ini pantas direalisasikan menerusi lebih 300 unit tempahan setakat ini.

Respons terhadap maklum balas memberangsangkan itu, Honda Malaysia bakal menawarkan CR-Z dalam tiga warna baharu iaitu kelabu, merah dan hitam.

“CR-Z bukan sahaja mampu memenuhi keperluan terhadap sebuah hybrid yang bergaya, malah ia juga mesra alam, berprestasi dan seronok dipandu. Pengguna Malaysia boleh melihat kelibat CR-Z di atas jalan raya mulai bulan ini,” jelas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

Baru-baru ini, saya berpeluang memandu hibrid idaman ramai itu. Lebih bertuah lagi, pandu uji tersebut mengambil tempat di Tokyo, Jepun!

Jangkaan awal bahawa unit pandu uji ialah daripada varian sama yang ditawarkan di Malaysia tersasar apabila CR-Z yang disewa itu semuanya bertransmisi automatik. Lebih tepat lagi CVT tujuh kelajuan. Walaupun sedikit hampa, sesi pandu uji berjalan lancar sebagaimana yang dijadualkan.

Dari hotel ANA Continental di tengah-tengah bandar raya Tokyo, destinasi kami pada hari itu ialah ke Utsunomiya. Perjalanan sejauh lebih 150 kilometer itu meliputi laluan bandar, lebuh raya selain menaiki dan menuruni jalan bukit.

Tahu tentang simpang-siur jalan di Tokyo yang cukup mengelirukan, saya mengambil keputusan untuk tidak memandu CR-Z di laluan bandar, sebaliknya menaiki bas terlebih dahulu. Selepas berehat seketika di sebuah pusat R&R di Sano, saya menjadi penumpang untuk ke destinasi seterusnya iaitu Hotel Nikko Kanaya.


BUTANG kawalan pendingin hawa yang terletak di sebelah kiri stereng.

Mendaki Irohazaka

Sebaik sahaja masuk ke ruang kokpit CR-Z, apa yang pantas menarik perhatian ialah rekaan papan pemukanya yang moden. Kualiti plastik yang digunakan juga bagus dan tidak nampak murah. Bahagian tengahnya terletak unit audio dan paparan sistem navigasi, aksesori wajib jika anda memandu di Jepun.

Saya juga mendapati ruang kabin hot-hatch itu agak sempit. Lebih-lebih lagi untuk mereka yang bertubuh besar. Tempat duduk belakang, hanya sesuai untuk kanak-kanak atau sekadar meletak barang-barang.

CR-Z mempunyai semua sifir untuk menjadikannya sebuah kereta yang sporty dan seronok dipandu. Kawalan stereng tepat, tubuh yang ringan, penukaran gear boleh dibuat dengan pantas, olengan badan minimum, merupakan antara ramuan penting untuk membuatkan proses melayan selekoh ketika menaiki laluan berbukit Irohazaka sangat-sangat menyeronokkan.

Jangan main-main. Jalan berbukit Irohazaka itu sebenarnya laluan popular sehingga ia menjadi salah satu laluan cabaran dalam permainan video Initial D Arcade Stage Version 2. Harus tahu juga bahawa Irohazaka merupakan laluan untuk peringkat expert.

Jadi, tidak boleh salahkan saya jika peluang yang jarang-jarang berlaku itu dimanfaatkan sepenuhnya. Maksudnya, saya tidak memandu dalam keadaan santai sambil melihat pemandangan indah penghujung musim luruh.

Sebagaimana yang diketahui, CR-Z menawarkan tiga mode pemanduan iaitu SPORT, NORMAL dan ECON. Tiga mode itu mengubah maklum balas pendikit, stereng, pemasaan melahu ketika berhenti, kawalan suhu dan tahap bantuan yang disediakan oleh Sistem Hibrid IMA.

Pastinya untuk menaiki Irohazaka, mode SPORT digunakan. Maklum balas yang diterima daripada enjin, stereng, pertukaran gear menerusi paddle shifter dan kerangka CR-Z adalah mengejutkan. Anda mungkin boleh terlupa bahawa anda sedang membawa sebuah kereta hibrid.

Dalam teruja melayan selekoh, saya terlupa kepada wakil syarikat kereta sewa yang terpaksa duduk di belakang. Sudahlah tempat duduknya sangat sempit, dia juga terpaksa berpegang pada pemegang bagi mengelakkan badannya bergolek ke kiri dan ke kanan.

“You are a very good driver,” katanya sambil tersenyum kelat, sebaik sahaja sahaja kami tiba di lokasi rehat untuk pertukaran pemandu yang terakhir. Dengan rasa agak bersalah, saya sekadar mengangguk.


PAPARAN meter yang futuristik dan informatif.

Harus saya katakan bahawa varian automatik itu tidak kurang seronoknya untuk dipandu. Sepanjang hampir dua minggu di Tokyo, banyak juga CR-Z yang saya nampak di atas jalan raya. Pemiliknya pula bukan muda belia, tetapi mereka yang muda di hati.

Berdasarkan kepada minat mendalam yang diberikan oleh pengguna Malaysia ke atas CR-Z, tiada salahnya jika Honda Malaysia membawa masuk CR-Z varian automatik dalam masa yang terdekat ini. Saya yakin ramai yang lebih rajin menukar gear menggunakan paddle shifter berbanding menekan klac dan menolak tuil gear.