Saturday, December 17, 2011

Fasha Berahsia Soal Kahwin (GAMBAR)


Baru-baru ini sebuah blog hiburan ada menyiarkan gosip yang mendakwa Fasha Sandha sedang melakukan persiapan untuk majlis perkahwinannya bersama Rizal Ashram atau Jejai pada Mac tahun hadapan. Bagi meyakinkan pembaca, laman blog itu turut menyiarkan sekeping foto yang memperlihatkan Fasha sedang mengenakan sepasang gaun yang kononnya gaun pengantin.  Persoalannya, benar atau tidak? Atau gambar itu diambil ketika dia terlibat dengan mana-mana sesi fotografi?

“Saya tak mahu komen pasal gambar itu. Saya pun tidak tahu dari mana mereka dapat gambar itu. Apa yang  boleh saya katakan ialah, kalau jodoh saya sudah sampai, pasti saya akan beritahu pada semua. Buat masa ini saya lebih senang tidak bercerita tentang hal-hal perkahwinan,” ujar Fasha.

Dalam masa yang sama, Fasha juga enggan mengulas tentang desas-desus yang mengatakan dia akan berkahwin pada Mac tahun depan. Jelas pelakon kontroversi ini, jika semuanya sudah pasti, barulah dia akan membuka mulut.

Heroin ‘Penanggal’

Dalam perkembangan lain, Fasha Sandha kini terlibat dengan filem pertama arahan Elly Suriaty Omar berjudul ‘Penanggal’. Untuk filem itu Fasha amemegang watak heroin yang digandingkan bersama Azri Iskandar sebagai pasangan yang telah bertunang.

“Untuk filem ini, saya memegang watak Syarifah Zalina, seorang gadis berketurunan Arab yang telah bertunang dengan Syed Yusof dan anak kepada Syarifah Mariam. Dia seorang gadis  periang yang menunggu hari istimewa untuk disatukan dengan tunangnya tetapi secara tiba-tiba tunangnya hilang.

Saya terima tawaran ini kerana saya menganggap watak ini berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Kali ini saya kena berbahasa Arab. Jadi saya rasa agak mencabar. Selain itu, saya juga rasa teruja dan seronok hendak berkerja dengan Kak Elly. Dia adalah seorang pelakon yang sangat bagus dan saya percaya dia boleh menjadi pengarah yang baik. Banyak perkara yang boleh saya pelajari dengan Kak Elly kerana dia seorang yang sangat teliti dengan kerja-kerjanya.

Dengan bimbingan Kak Elly, pasti saya nampak lebih bagus dalam filem ini,” ujar Fasha.
Selain sibuk dengan penggambaran filem, Fasha juga akan membintangi drama bersiri terbaru berjudul ‘Seindah Sakura’ yang akan bersiaran di slot Akasia, TV3 pada tahun hadapan. Untuk drama ini dia akan digandingkan bersama Farid Kamil.