Monday, December 5, 2011

Fatehah pelumba wanita pertama hampiri Olimpik 2012 (4 GAMBAR)


FATEHAH Mustapha kini semakin hampir untuk menjadi pelumba basikal wanita pertama negara layak beraksi pada temasya sukan terbesar dunia - Sukan Olimpik 2012 di London yang akan bermula Julai tahun depan.

Berdasarkan prestasi semasa, Fatehah ketika ini berada pada landasan tepat untuk merealisasikan impian tersebut.

Buktinya, dia kini muncul satu-satunya pelumba wanita dari Asia yang berjaya mengumpul mata bagi melayakkannya beraksi pada temasya berprestij dunia itu berbanding pencabar terdekatnya dari Hong Kong, Jepun dan China.

Semalam, pelumba kelahiran Terengganu itu tampil bergaya apabila berjaya menamatkan saingan di tempat keenam dalam acara keirin pada aksi final Kejohanan Lumba Basikal Piala Dunia Klasik Siri 2

di Cali, Columbia.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Fatehah mengutip lima mata dalam misinya beraksi

di bumi London kelak.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, sekiranya Fatehah mampu mengekalkan rentak kecemerlangan tersebut tidak mustahil dia mampu menjadi pelumba wanita pertama negara beraksi pada Sukan Olimpik.
“Mengikut peraturan yang ditetapkan, hanya dua pelumba yang mengutip mata tertinggi dalam satu-satu acara dari Asia layak beraksi pada Sukan Olimpik nanti.

“Setakat ini, hanya Fatehah sahaja yang berjaya mengutip mata. Pencabar-pencabarnya dari Hong Kong, Jepun dan China masih belum memperoleh sebarang mata. Jadi, saya lihat peluang Fatehah kini sangat cerah.

“Apa yang saya harapkan adalah Fatehah perlu bekerja keras selepas ini agar dia dapat memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap terbaik dalam setiap kejohanan yang menawarkan mata bagi membolehkan dia layak ke Sukan Olimpik,” kata Naim ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain Fatehah, jaguh acara trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang turut mengumpul tujuh mata manakala seorang lagi pelumba, Josiah Ng (sembilan mata).

Peluang buat pelumba-pelumba negara untuk terus mengumpul mata bakal hadir pada Kejohanan Lumba Basikal Piala Dunia Klasik Siri 3

di Beijing, China, Januari tahun depan dan Siri 4 di London sebulan kemudian.

Percubaan terakhir buat semua pelumba untuk mengumpul mata bagi layak ke Sukan Olimpik ialah pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia di Melbourne, Australia pada April tahun depan.