Monday, December 5, 2011

Kak Ani kesal radio tetap syarat utk lagu irama etnik (3 GAMBAR)

"Sekarang kebanyakan stesen radio sudah ada syarat tertentu untuk sesebuah
lagu dikeudarakan, ada boleh dan ada tidak boleh.
"RINDU memang rindu, tapi nak hasilkan album berentak etnik kena fikir sepuluh kali," itu luahan pemilik nama Noraniza Idris atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ani, 43, saat ditanya kerinduan genre yang menjadi makanannya.

Katanya, lebih banyak pancaroba berbanding prospek jika berkehendakkan irama tradisional atau etnik kreatif diangkat semula ke dalam industri muzik semasa.

"Adakalanya, penari dan pemuzik tidak sehati dengan kita dan kadangkala ada yang lebih utamakan bayaran, malah orang melihat kita (penyanyi etnik) mahu mempromosi diri sendiri berbanding seni dan budaya," tuturnya yang rimas dengan senario masyarakat.

Usaha untuk mengangkat kembali keunggulan irama Malaysia dan etnik kreatif yang pada ketikanya masyhur sekitar era 90-an bertambah payah apabila kurang mendapat sokongan daripada stesen radio.

"Sekarang kebanyakan stesen radio sudah ada syarat tertentu untuk sesebuah lagu dikeudarakan, ada boleh dan ada tidak boleh.

"Jadi, langkah terbaik adalah mencari satu inisiatif untuk mengadakan program yang boleh berikan keuntungan kepada semua, maka dengan itu program jelajah adalah solusi terbaik," hujahnya yang sentiasa optimis dengan pembangunan seni dan budaya bangsa.

Biarpun sudah meletakkan satu taraf buat diri sendiri untuk tidak lagi terlibat dalam sebarang pertandingan, butir bicaranya jelas menampakkan industri irama Malaysia atau etnik kreatif perlukan bantuan.

"Genre ini kena ada satu platform untuk naik semula, baru boleh hidup," lembut tapi ada kobaran semangat di sebalik patah kata pelantun lagu Awallah Dondang itu.

Primadona

Noraniza yang ditemui ketika sidang akhbar Santai Primadona Noraniza Idris 2012 dalam pada itu turut menguar-uarkan program yang dirancangnya untuk tahun depan.

Menerusi syarikat miliknya, Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. (NIPV), satu program jelajah ke seluruh Malaysia akan diadakan pada tahun depan sempena promosi Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia 2012.

Dalam pada itu, Noraniza juga kini sedang sibuk menyiapkan album terbaharunya, Primadona Noraniza Idris yang menampilkan enam buah lagu daripada tiga penyanyi pujaannya; Sharifah Aini, Rafeah Buang dan Sanisah Huri.

"Single pertama, Dekatlah Padaku nyanyian biduanita negara, Sharifah Aini, akan dilancarkan pada 25 Disember ini sempena program Santai Primadona Noraniza Idris 2012 di Hotel MSuite, Johor Bahru pada pukul 8 malam," maklumnya mengenai album yang dijangka siap pada bulan Mei tahun depan ketika ditemui di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Single pertama Dekatlah Padaku akan mengandungi tiga track terdiri daripada fulltrack, minus one dan instrumental.

Album Primadona Noraniza Idris memuatkan lagu Kekasih Pujaan (Sharifah Aini), Perpisahan dan Pengorbanan (Rafeah Buang) serta Sejak Bertemu Padamu dan Kerana Kau (Sanisah Huri).

Relevan kesemua lagu itu dipilih berlandaskan minat mendalam Noraniza kepada tiga nama besar itu dan dia sendiri membesar dengan lagu-lagu popular artis era 70-an tersebut.

"Pilihan lagu banyak datang daripada suami (Jeffri Hudi, 52), mungkin apa yang Kak Ani pilih nanti tidak sesuai pada telinga orang," katanya mengenai pemilihan lagu-lagu dalam albumnya.

ALBUM Primadona Noraniza Idris banyak dibantu idea oleh suaminya, Jeffri Hudi yang memilih lagu sesuai untuk dimuatkan di dalam produk terkini penyanyi itu.
Biar pun terkenal dengan lagu-lagu klasik Melayu, menerusi album Primadona Noraniza Idris tidak banyak lari daripada lenggok suaranya.

"Kak Ani dulunya terkenal dengan panggilan penyanyi ciplak sebab suka menyanyi lagu-lagu pop Indonesia, jadi tidak ada masalah untuk menyanyikan lagu-lagu pop Melayu seperti mana album ini," getus peserta bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1985 itu.

Proses promosi turut merangkumi siri jelajah yang akan terus 'masuk' ke dalam masyarakat pendengar dengan kaedah lama.

"Promosi melalui jelajah lebih berkesan, kita patah balik kepada cara lama tapi lebih global dan menyerlah serta memfokuskan pada pelancong luar," katanya yang mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk memperkenalkan sesebuah lagu betul-betul kepada peminatnya.

Memandangkan sepanjang tahun 2012 jadualnya sudah terisi dengan pelbagai aktiviti, bagaimana pula kehidupan peribadinya apatah lagi setelah kini bergelar isteri?

"Kebetulan Kak Ani ada suami yang lebih kepada pemasaran, tugas Kak Ani menyusun jadual dan promosi album.

"Dulu biasa hidup bersendiri, sekarang penekanan lebih kepada famili, mujur suami memahami dan tidak halang Kak Ani terus berkarier, kalau Kak Ani letih dia yang akan buat semua kerja rumah," tambahnya.

Ditanya soalan mengenai cahaya mata, jawab ratu irama Malaysia itu, "Kalau ada anak perempuan pasti ia jadi penyeri kami."