Sunday, December 4, 2011

“Kritikan saya jujur walau pedas” : Chef Wan


RAMAI yang kata Chef Wan sekarang semakin kuat mengkritik. Kadang-kadang dengar macam berleter pun ada. Apa komen Chef Wan?

Kita ni suka berterus-terang. Sebagai orang lama dalam industri, saya ni dah terlebih dahulu makan garam. Saya ikhlas memberi teguran yang boleh mendatangkan kebaikan. Jadi rasanya tak salah kalau saya mengkritik.

Tetapi ada yang kata kritikan Chef Wan sekarang boleh tahan pedasnya. Macam mana Chef Wan melihat situasi ini?

Kritikan pedas membuktikan saya jujur ketika melontarkan pandangan. Benda yang baik, benda yang betul, memang orang susah nak terima. Sampai bila kita nak hipokrit dan simpan semua keburukan di bawah karpet? Tegur bererti kita nak betulkan keadaan dan saya akui memang susah nak didik masyarakat kita dalam bab ini. Benda yang saya rasa betul, saya tak takut untuk suarakan. Itulah diri saya dari dulu sampai sekarang. Saya berani kerana benar dan tak perlu cium punggung orang untuk sorok segala benda negatif. Sebenarnya terpulang kepada mereka macam mana mereka terima satu-satu teguran itu.

Chef Wan juga dilihat turut menjadikan laman sosial Facebook sebagai tempat untuk meluahkan rasa, perlu ke?

Bagi saya senang saja. Kalau tak suka, benci, jangan buka Facebook dan baca apa yang saya tulis. Facebook tu dah jadi macam journal harian dan saya akan kongsi apa sahaja yang saya tulis bersama peminat. Kalu rasa sakit hati, jangan baca. Nanti dah baca sakit jantung pula. Lagipun, terang-terang namanya laman peminat (fanpage). Saya tulis dan berkongsi pengalaman saya. Kadang-kadang mereka jadikan kata-kata saya sebagai inspirasi harian mereka. Dari situ saya salurkan tenaga positif kepada mereka.

Dalam program MLM misalnya, selepas beri komen pedas-pedas, apa yang Chef Wan harapkan daripada peserta?

Biar ada adab. Macam baru-baru ini, ada peserta yang buat lawak berunsur lucah dan mengaibkan sesetengah pihak, saya bangkang. Sebab buat lawak sebenarnya tak perlu cara aib, lucah dan nampak bodoh. Bidang komedi di Malaysia boleh berkembang maju dan sihat walau tanpa benda-benda macam ini. Peserta perlu sedar bahawa, program itu turut ditonton oleh budak-budak. Apa contoh yang dapat kita bagi kalau mereka tengok peserta buat lawak sebegitu?

Susah sangat ke jadi juri untuk program sebegitu?

Bukan senang tahu jadi juri ni. Sampaikan saya, setiap kali masuk program itu untuk menilai persembahan mereka, saya minta doa pada Allah S.W.T supaya saya dapat mengadili mereka dengan baik dan saksama. Penonton pun kadang-kadang ada yang tak hormat juri. Bayangkan, juri pun kena booo. Dimana rasa hormat mereka? Kalau masuk dalam mahkamah, beranikah kita untuk booo kan hakim? Ingat saya ni suka dimalukan dan diboo begitu? Budaya apa tu? Walhal saya ikhlas beri pandangan saya.

Adakah sebarang kemungkinan, penonton pun tak suka dengan komen terlalu pedas?

Bagi saya kalau mereka nak terima teguran, Alhamdulillah. Kalau tak mahu dengar, sudah. Kalau lawak ada isi dan ia berjaya buat saya dan penonton gelak, maka mereka berjayalah. Kalau tak, maka saya kata taklah. Ingat saya ni bodoh sangat ke sampai tak tahu nak beza mana lawak, mana tidak, hanya kerana saya ni seorang chef? Fikirlah sikit.

Bagaimana Chef Wan melihat generasi artis muda sekarang yang dilihat begitu pantang ditegur, susah terima kritikan?

Kena ajar dan nasihat dari awal supaya hormat orang tua. Budak-budak sekarang ramai yang biadap dan kurang ajar. Kita kena ingat, generasi muda sekarang inilah yang akan memimpin dunia pada masa akan datang. Kalau tak dididik dengan cara yang betul, mereka ini tak akan sedar.

Saya buat ni semua demi masyarakat, agama, bangsa dan negara. Kadang-kadang saya sedih bila segelintir masyarakat kita suka meniru ke arah kebaratan sangat. Biadap dan sebagainya. Buat apa nak tiru barat? Tengok mereka sekarang, negara pun dah nak lingkup, kita nak jadi macam merekakah? Perkara yang baik bolehlah ikut. Habis, kalau mereka terjun longkang, kita pun nak terjun longkang jugalah? Ini sebagai sumbangan untuk mendidik masyarakat, bukan aibkan sesiapa. Anggaplah teguran ini daripada seorang bapa menegur anak-anak. Kalau baik, jadikan contoh tauladan, kalau tak mahu terima, terpulanglah.