KUALA LUMPUR: Wajah pelakon Faizal Hussein bakal memonopoli tiga buah filem baru yang bakal menjalani penggambaran secara berperingkat.
Penerbit bersekutu Asri Abdul Rahman mengumumkan Faizal bakal berlakon dalam ketiga-tiga buah filem yang diusahakan oleh tiga buah syarikat iaitu filem Khon Malay, Taiko dan 1945.
“Terus-terang, saya selesa dan suka bekerja dengan Faizal dan selepas ini jika ada watak yang bersesuaian dengan Faizal mungkin kami akan memanggilnya lagi selepas ini,” kata Asri dalam sidang media pelancaran filem-filem tersebut di Restoran Platinum Terrasse, Jalan Genting Klang, di sini, Isnin.
Tiga syarikat yang bergabung untuk menjayakan produksi ketiga-tiga filem tersebut adalah AAR Intelligent Sdn Bhd, Northstar Acres Sdn Bhd dan Dzed Resources Sdn Bhd.
Tambahnya lagi, dia yakin dengan kelainan genre setiap filem yang diterbitkan itu termasuk faktor pemilihan para pelakon yang menjadi ‘umpan’ terbaik setiap filem itu.
“Saya yakin dengan penerbitan ketiga-tiga filem ini kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dan konsep berbeza.
“Misalnya, kami memilih watak heroin yang telah lama menghilang seperti Wilma Muhammad yang sudah 11 tahun tidak berlakon,” katanya lagi.
Jelasnya, filem Khon Malay akan menjalani penggambaran yang pertama bermula 16 November ini.
Selain Faizal, Khon Malay yang diarahkan oleh Imran Ismail akan diterajui oleh pelakon Zarina Anjoulie, Murad Zaidi, Man Bai, Zed Zaidi serta penampilan istimewa Rosyam Nor dan Hail Amir.
Taiko yang diarahkan oleh Syariman Yaacob akan dilakonkan oleh Zed Zaidi, Maria Farida, Neelofa, Beto Kusyairi, Azhan Rani, Riz Ainuddin, Nam Ron, Abu Bakar Omar, Yus Raja Lawak serta penampilan istimewa Rosyam Nor dan Datuk Yusof Haslam.
Sementara 1945 yang diarahkan oleh Imran Ismail dilakonkan oleh Wilma Muhammad, Yank Kassim, Zed Zaidi, Lana Nordin dan Murad Zaidi.