Monday, November 14, 2011

Majlis Penyerahan Istana Negara Jalan Duta bernilai RM800 Juta (GAMBAR)


Majlis Penyerahan  Istana Negara Baru Jalan Duta, Kuala Lumpur  telah diadakan di Dewan Serbaguna DiRaja di antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pihak Pengurusan Istana Negara.


Aturcara penyerahan bangunan disempurnakan dengan sesi menandatangani penyerahan dan penerimaan Sijil Penyerahan Bangunan di antara  Y.Bhg. Datuk Timbalan Ketua Setiausaha Kanan,Y.Bhg. Datuk Othman Bin Haji Mahmood dari Jabatan Perdana Menteri dengan Y.M Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Y.M Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil yang mewakili pihak Pengurusan Istana Negara. Majlis yang diadakan secara sederhana ini turut dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Kanan daripada Jabatan Perdana Menteri dan Istana Negara.

Kompleks Istana Negara Baru telah dibangunkan di atas tanah seluas 241.3 ekar yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Ia merangkumi pembinaan Bangunan Utama Istana Negara serta bangunan-bangunan dan kemudahan sokongan yang lain dengan keluasan lantai kasar (gross floor area) keseluruhan sebanyak 90,082 meter persegi. Turut dilaksanakan bagi melengkapkan keperluan Kompleks ini ialah pembinaan Jalan Masuk Bertingkat Jalan Duta ke Pintu 1 Istana Negara dan Naiktaraf Jalan Changkat Semantan ke Pintu 2 Istana Negara yang diuruskan oleh Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR. Projek ini telah mula dibina pada akhir November 2007 dan siap sepenuhnya pada akhir September 2011.


Penyiapan Kompleks Istana Negara Baru ini adalah sangat ditunggu-tunggu kerana buat julung kalinya negara akan mempunyai sebuah Istana Negara yang serba lengkap dan terancang rapi bagi memenuhi sifat dan fungsinya sebagai tempat istiadat utama dan persemayaman Kebawah Duli Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Dengan terlaksananya Majlis Penyerahan ini, maka dengan rasminya Kompleks Istana Negara Baru ini mula berfungsi bagi menggantikan Istana Negara sedia ada.

No comments:

Post a Comment