Monday, November 14, 2011

Syamsul Perlekeh Golongan Pengkid? (GAMBAR)


Belumpun filem ini ditayangkan lagi, sudah timbul kontroversi apabila ada pihak yang mengatakan filem terbaru arahan pengarah muda, Syamsul Yusof, ‘Aku Bukan Tomboy’ ini kononnya memperlekehkan golongan pengkid.


Hanya ketawa apabila mendengar isu tersebut, Syamsul ketika ditemui baru-baru ini memberitahu, walaupun filemnya itu memaparkan kisah golongan tomboy dan pengkid, namun tidak pernah terniat langsung di hati pemuda berusia 27 tahun ini untuk memperlekehkan golongan tersebut.

“Saya tidak memperlekehkan karakter tersebut. Saya rasa saya hanya memaparkan isu-isu biasa yang melanda golongan terbabit. Malah, saya juga amat menjaga sensitiviti golongan tersebut. Mesej yang disampaikan dalam filem ini juga amat jelas di mana tidak kira sesiapapun, mereka semua ada perasaan.”

Mengulas mengenai filem keenamnya itu, Syamsul memberitahu, “Filem ini memberi kepuasan yang lain kepada saya. Secara jujur, saya masih tidak berpuas hati, ini kerana saya sentiasa fikir yang saya dapat buat lebih baik lagi. Walau bagaimanapun, ini merupakan filem komedi romatik pertama saya dan saya rasa saya telah berjaya membawa serta menggabungkan unsur lawak dan perasaan dalam filem ini.”

Bakat pengarah muda ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Syamsul yang baru saja menerima Anugerah Yasmin Ahmad di Anugerah Skrin 2011 baru-baru ini juga pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23.


Kehebatan Syamsul juga dapat dilihat apabila filem arahannya, ‘KL Gangster’ berjaya meraih kutipan hampir RM 12juta! Bagi GUA, anak kepada Datuk Yusof Haslam ini suka mencabar dirinya dengan sesuatu yang baru dan setiap yang dilakukannya, berjaya memuaskan hati penonton di Malaysia.

“Saya suka buat filem yang berlainan genre. Bagi saya, pengarah yang baik adalah pengarah yang variasi dan boleh buat lebih dari satu genre. Kalau boleh, semua genre saya nak cuba buat. Saya harap penonton boleh terima filem komedi romatik terbaru saya ini. Saya turut berharap agar filem ini akan sukses dan menjadi sesuatu yang luar biasa.”

No comments:

Post a Comment