Selepas diiktiraf oleh kerajaan Thailand dan Indonesia, ikon masak popular negara, Datuk Redzuawan Ismail atau Datuk Chef Wan sekali diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima dua anugerah berpestij daripada National Critics Choice.
Anugerah berkenaan ialah Life Time Achievement South East Asia Cuisine menerusi kategori The Hospitality and Dining Awards 2011/2012 dan juga Best Editor's Choice Award yang diberikan berdasarkan kejayaan buku masakannya, Best of Wan Taste of Malaysia.
Bercakap kepada portal murai.com.my, Datuk Chef Wan berkata, dia sama sekali tidak menduga kehadirannya bagi menjayakan festival masakan selama seminggu di Singapura itu sekali lagi telah menyimpan kenangan manis dalam lipatan sejarahnya sepanjang 25 tahun bergelar tukang masak.
"Ini adalah anugerah tertinggi di peringkat Asia Tenggara yang saya perolehi tahun ini selain dua lagi anugerah yang diberikan kerajaan Thailand dan Indonesia sebelum ini. Syukur Alhamdulillah.
"Sudah tentu saya gembira dengan pencapaian ini. Setidak-tidaknya peranan saya sebagai duta masakan negara menampakan hasil dan hasil usaha saya untuk memperkenalkan masakan Malaysia ke mata dunia juga memberikan kesan," katanya ketika dihubungi melalui telefon.
National Critics Choice adalah sebuah badan dan laman web antarabangsa yang menghargai beberapa aspek gaya hidup seperti makanan, muzik, pendidikan dan filem yang telah ditubuhkan sejak 2009 sejak diambil alih Robin Stienberg.
Masih berada di Singapura bagi mewakili negara bersama-sama chef terhandal dari serata Asia yang lain, Datuk Chef Wan berkata dia terharu apabila kehadirannya ke festival berkenaan mendapat maklum balas baik daripada ramai pihak terutama peminat dunia masakan Asia.
Bukan sekadar kunjungan biasa, Datuk Chef Wan juga telah diundang oleh stesen televisyen antarabangsa, Channel News Asia sebagai panel jemputan untuk menceritakan pengalaman serta kepakarannya sepanjang terbabit sebagai chef .
Katanya, rancangan bual bicara yang dipancarkan bukan saja di Singapura malahan juga ke serata dunia termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat itu telah memberi peluang untuknya berkongsi pendapat dan pengalaman.
"Banyak perkara yang ditanyakan mereka, antaranya tentang pengalaman saya sebagai chef selebriti, kehadiran program realiti MasterChef dan juga peranan saya sebagai duta masakan Malaysia.
"Mereka juga bertanyakan pendapat saya tentang lambakan tukang masak generasi muda Asia masa kini yang gemar terikut-ikut dengan dunia masakan barat seperti Amerika Syarikat mahupun Australia.
"Itulah yang membimbangkan saya, terutama sebagai chef masakan Asia dan Malaysia, saya seboleh-bolehnya mahu memperkenalkan masakan Malaysia ke mata dunia. Perlu tahu asal usul serta menjadi diri sendiri dan bukannya terikut-ikut dengan budaya luas adalah sangat penting," katanya.
Sementara itu, beliau tidak akan menjadi juri tetap untuk program Maharaja Lawak Mega (MLM) minggu ini memandangkan jadualnya masih sibuk pelbagai program bagi menjayakan festival makanan berkenaan di sana.
Bagaimanapun dia mengharapkan sebuah persembahan yang baik daripada setiap peserta MLM pada minggu ini dan mahu orang ramai bersabar menanti kepulangannya dengan kritikan pedas pada persembahan minggu berikutnya.