Pengarah prolifik, Syamsul Yusuf sememangnya terkenal dengan sentuhan filem bercorak aksi. Namun percubaan pertamanya menerusi filem komedi romantik, Aku Bukan Tomboy nyata membuahkan hasil yang mengagumkan.
Pendek kata, tidak rugi membuang duit untuk menonton filem yang dibarisi pelakon hebat seperti Scha Al-Yahya, Shaheizy Sam, Syamsul, Salina Saibi, Zarina Zainordin, Sheera Iskandar, Harun Salim Bachik dan Eira Syazira.
Garapan baik dari plot ke plot, disudahi punchline yang menarik membuatkan filem ini tidak membosankan. Meskipun skrip ini ditulis oleh bapanya, Datuk Yusof Haslam, Syamsul dikatakan banyak mencorakkan filem ini mengikut gayanya yang tersendiri.
Pemilihan Scha sebagai Farisa dilihat sangat tepat kerana Scha bijak menghidupkan karakter Farisa dari segi 'kejantanan' namun masih terselit jiwa kewanitaan. Malah Scha pandai mengawal cara percakapan, riak wajah, intonasi suara, dan permainan mata yang cukup berkesan.
Lakonan Shaheizy Sam juga tidak perlu dipertikaikan lagi. Meskipun sering muncul dengan perwatakan komedi dalam filem lakonannya, komedi yang dibawakan Sam dalam filem ini masih boleh diterima. Malah boleh dikatakan filem ini, adalah antara filem paling ringan buat Sam kerana dia tidak banyak bermain dengan emosi.
Kehadiran pelakon Harun Salim Bachik, walaupun untuk seketika cukup meninggalkan kesan dan menggeletek hati penonton. Begitu juga dengan Salina dan Zarina, yang membawakan watak pengkid. Biarpun hadir hanya untuk beberapa babak, Salina dan Zarina berjaya menghidupkan watak pengkid yang dibawa oleh mereka.
Dari teknik sinematografinya pula, sentuhan Syamsul tidak perlu dipertikaikan lagi. Namun dari segi dialog, filem ini kurang sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak kerana beberapa ayat yang kedengaran agak kasar dalam filem ini.
Namun kesudahan yang sedikit tergantung mungkin mencetuskan rasa tidak puas hati atau rasa teruja penonton untuk menantikan, apakah kesudahan sebenar filem ini.
Filem ini mengisahkan tentang Farisa atau Eisha yang mengubah pendirian dua jejaka terhadap gadis yang berperwatakan lelaki. Kali pertama melihat Farisa di sebalik topeng lelaki, mereka mula jatuh hati dengan gadis itu.
Harry, seorang jurujual jalanan yang terlebih dahulu menjalinkan hubungan mesra dengan Farisa berasa tergugat apabila Burn muncul sebagai saingan yang mencetuskan perebutan.
Dalam masa sama, Farisa berdepan dengan konflik perbezaan darjat dan kedudukan Burn sebagai Eksekutif Junior di syarikat bapanya yang menyukarkan hubungan mereka.
Konflik cinta tiga segi yang berbeza senario telah mewarnai catatan kehidupan Farisa, si gadis tomboy. Persoalan adakah pengorbanan yang dituntut dalam dilema percintaan Farisa?