AKSI manja kedua bakal pengantin Shera dan Zahiril. |
TEMPOH perkenalan selama 18 bulan dirasakan sudah cukup lama bagi pasangan merpati sejoli ini untuk memeterainya dengan ikatan perkahwinan.
Bagi Zahiril Adzim, 27, dan Shera Aiyob, 25, keputusan yang mereka ambil tepat dan tidak perlu ditangguhkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga.
Biarpun ada mengusik perkahwinan ini masih terlalu awal untuk mereka, bagi Zahiril dan Shera mereka tetap yakin cinta mereka melangkaui segala-galanya .
Memilih tanggal 20 November ini sebagai tarikh keramat, kedua mereka kini sedang berhempas pulas melakukan segala persiapan agar hari yang dinanti itu berlangsung dengan indah.
Shera belajar tugas isteri melalui buku
Menurut Shera, selain sibuk membuat persiapan untuk hari besarnya yang bakal tiba tidak lama lagi, dia dan Zahiril juga turut melakukan beberapa persediaan selepas menjadi suami isteri.
“Kami baru sahaja selesai mengangkat beberapa perabot ke rumah baru kami.
“Memandangkan kami berdua agak sibuk selepas cuti berkahwin nanti, kami rasa adalah lebih baik kami melakukan segala persiapan ini secara berperingkat,” katanya ketika di temui di butik Hatta Dolmat di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
“Soal sedia itu sebenarnya terletak pada diri kita sendiri, jika kita asyik mengatakan belum waktunya, sampai bila-bila pun ia tidak akan berlaku.
“Selain itu memilih untuk membaca buku -buku nasihat, merupakan antara usaha Shera di dalam mempelajari ilmu seorang isteri,” katanya bersungguh.
Menyedari penglibatannya dalam bidang lakonan kurang menyerlah, Shera berpendapat, perkahwinan tidak akan menjejaskan peluangnya untuk lebih dikenali.
Dia juga reda menerima apa jua keadaan sekiranya usaha untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya terpaksa dilupakan selepas bergelar isteri.
“Mungkin belum masanya untuk Shera menyerlah sebagai pelakon.
“Lagi pun rezeki itu bukan kita yang tentukan dan jika benar rezeki Shera bukan di dalam bidang lakonan selepas berkahwin nanti Shera tetap terima,” katanya.