Saturday, October 1, 2011

Ramlah Ram peka


MESKIPUN artis baru bagai cendawan tumbuh selepas hujan, populariti penyanyi terkenal 1980-an, Ramlah Ram tidak pernah surut, bahkan berkat sokongan tidak bertepi peminat, dia kekal mekar dalam kelasnya yang tersendiri.


Lebih membanggakan, penyanyi kelahiran Muar, Johor ini bertuah berbanding rakan seangkatannya apabila masih berpeluang merakam album baru.


Ramlah yang pernah direkodkan sebagai penyanyi Melayu pertama mencatat jualan album melebihi 350,000 unit, bukan saja memikat hati pencintanya menerusi lagu berhantu, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu tetapi terus menjadi sebutan menerusi rangkaian dendangan alaf baru seperti Ketentuan, Maharaja dan Cinta Gila. Kemantapan vokalnya masih sukar dicari ganti, bahkan Ramlah masih berdiri hebat bersama pelapis generasi baru.


Selepas kejayaan Konsert Malam Gala 25 Tahun yang berlangsung tahun lalu dan tampil bertudung, rezeki Ramlah semakin murah. Putaran roda kariernya semakin laju apabila segala kegiatan seninya diurus kelab peminatnya, Ramlah Ram Group (RRG).


Menariknya, RRG bukan sekadar menyalurkan sokongan seperti mana kelab peminat lain tetapi mengatur persembahan, fotografi, sidang media dan sesi beramah mesra dengan pengikut setianya.

Meskipun masih bernaung di bawah FMC, proses rakaman album terakhir bersama syarikat rakaman itu turut membabitkan RRG selaku penerbit bersama.



Menyusuri kembara seninya tahun ini, selepas muncul dengan Cinta Gila pada Januari lalu, Ramlah semakin berbisa apabila single Sesaat Kau Datang yang menyaksikannya berkolaborasi dengan kumpulan duo terkenal Singapura, Sleeq, mendapat sambutan hangat.

Lagu ciptaan ID Mifzal dan lirik oleh Zie Shariffudin ini mendapat sentuhan Adi 6ixth Sense sebagai penggubah muzik. Keberanian penyanyi ini keluar daripada kepompong kebiasaannya mendapat pujian, bahkan ramai tidak menjangka itu adalah nyanyiannya.


Ini gandingan keduanya bersama artis generasi baru selepas lagu Benar Mencintai (bersama Faris Awan Band) beberapa bulan lalu.

Menyentuh perkembangan terkini, Ramlah yang muncul cemerlang dalam program Aura 3 Diva bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Ella, sempena sambutan Aidilfitri lalu, sibuk memenuhi undangan persembahan pentas selain terikat dengan proses rakaman album terbarunya.


Buah tangan yang bakal memasuki pasaran tahun depan ini memperlihatkan transformasi Ramlah apabila mengetengahkan lagu yang selari dengan cita rasa pencinta muzik tempatan masa kini.


“Jika mahu kekal lama dalam industri, kita kena peka dengan kehendak industri dan selera pendengar. Justeru, bagi memenangi hati pendengar muda, saya mendendangkan genre pilihan mereka serta bekerjasama dengan idola mereka. Pun begitu, dalam album ini ada beberapa lagu balada yang menjadi ‘makanan’ saya selama ini.


“Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah Cinta Gila, Benar Mencintai, Sesaat Kau Datang, Melodi Cinta, Sejadah Cinta, Seandainya dan Melupakanmu.


“Harapnya peminat yang membesar dengan lagu saya akan suka album ini, dan peminat baru yang mengenali saya menerusi lagu Ketentuan pula terhibur dengan percubaan saya mengalunkan melodi baru.


“Insya-Allah, dalam waktu terdekat saya akan bertemu peminat seluruh negara untuk mempromosikan lagu Sesaat Kau Datang bersama Sleeq. Bagi memenuhi permintaan peminat, kami akan merakam klip video lagu ini.


“Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat dan media yang banyak mendorong saya selama ini.


“Saya sangat terharu dengan sokongan semua, terutama RRG yang tidak putus-putus memberi idea dan galakan untuk saya mencuba sesuatu yang baru dan melakukan transformasi.


“Tanpa mereka, mungkin saya masih di takuk lama seperti dulu,” kata juara Bintang RTM 1985 ini sambil memaklumkan, hubungi RRG di talian 019-4000831 atau melayari laman sesawang www.ramlahram.com bagi mengetahui persembahan dan jadual seninya.

No comments:

Post a Comment