Saturday, October 1, 2011

Iwan AF8 sedar diri pemalu

Kata Iwan, dia memang sengaja mengelak
diri dari terlalu mendapat pendedahan media.
KELIBAT penyanyi berusia 21 tahun ini berada di pentas program Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) hanya menyerlah tahun lepas.


Namun seakan ada yang tidak kena apabila pesona Emirza Azwan B. Zulazrin Chew atau lebih dikenali sebagai Iwan ini bagai sudah tenggelam.

Walhal, peminat tahu bahawa sepanjang AF8 berlangsung, Iwan sentiasa mendapat tumpuan meski gagal menempatkan diri sebagai juara dan hanya mampu tersenyum dengan kedudukan lima tangga 
teratas.

Tak mengapalah. Gagal bukan bermakna gagal selamanya.

Bagaimanapun kata azimat yang dipegang Iwan itu bagai tidak ‘sampai’ untuk dibuktikan kepada semua pihak sekurang-kurangnya buat masa ini.

Setakat punya dua lagu berjudul VIP dan Psiko, ke manalah sangat Iwan mampu berkembang, kan?

Pancaindera bertemu muka dengan empunya diri yang kini berimej botak bagi menemukan jawapan.

Mengaku dirinya semakin menjauh dari lampu sorot dunia glamor, kata anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini, dia tahu puncanya cuma satu, kerana dirinya pemalu.

Menurut Iwan, sifat pemalu yang ada pada dirinya itu menyebabkan dirinya serba sedikit terkandas untuk maju meski tahu untuk menjadi seorang artis, pemalu bukanlah sifat yang wajar dipraktiskan.


“Ini memang kelemahan saya dari dulu. Tapi kalau berada di atas pentas, rasa malu tu cepat hilang.

“Saya sedar ia akan bagi impak pada karier dan susah nak cari lubang duit selagi ia tidak dikikis. Dapat tawaran menyanyi yang biasa-biasa tu adalah juga. Tapi nak harap yang hebat dan gempak memang tak ada langsung setakat ini.

“Tapi InsyaAllah, saya akan cuba berubah sedikit demi sedikit sebab saya dah berazam untuk mula buka lembaran baru dalam hidup saya terutama sebagai pendatang baru dalam industri ini,” katanya.

Mahu sederhana

Dalam pada itu, anak kedua empat beradik ini mahu untuk kekal bersederhana dalam industri.
Sebagai orang baru dalam dunia hiburan tanah air, pegangannya itu tentu sekali mengejutkan dan berbeza dengan artis lain.

“Memang inilah diri saya yang sebenar,” kata Iwan ketika menjelaskan mengenai pendiriannya itu.

“Memang niat saya untuk tidak terlalu terdedah pada dunia glamor. Saya tak suka dikenali sangat sebab saya percaya kalau kita jarang terpampang di media maka itu membuatkan seseorang artis itu lebih dihargai.

“Lihat contoh seperti Fazli Zainal. Dia punya bakat yang hebat dalam nyanyian. Dia tak kerap muncul dalam akhbar tapi kerap dapat tawaran dan undangan nyanyian di majlis-majlis tertentu.

“Rasanya tak salah kalau saya mengamalkan sikap bersederhana ni kerana sekurang-kurangnya ia boleh mengelakkan saya daripada digosip dan ditohmah dengan kontroversi,” ujarnya yang nampaknya serius untuk terus mengamalkan sikap itu.

Tinggalkan Astro

Bukan mudah untuk seseorang artis baru mengendalikan segala urusan dan aktiviti seni tanpa pengurusan yang profesional.


Namun itu yang berlaku pada Iwan yang kini difahamkan tidak lagi berada di bawah kepompong syarikat rakaman Maestro Talent and Management Sdn. Bhd. (Maestro) selepas setahun mengikat kontrak dengan pihak tersebut.

Kata Iwan, selepas meninggalkan Maestro, semua perkara berkaitan persembahan dan aktiviti seni dilakukannya sendiri tanpa bantuan sesiapa.

Mengulas lanjut kata Iwan, dia sedar banyak perkara yang perlu dipelajarinya lebih-lebih lagi pengalamannya dalam bidang seni masih belum luas.

“Susah memang susah sebab semua kena buat sendiri. Tapi saya bersyukur kerana ia membuka mata saya untuk lebih bekerja keras.

“Satu lagi saya nampak yang saya akhirnya boleh buat keputusan sendiri berkaitan apa sahaja dalam bab karier,” katanya.

Bukan niatnya mahu membuka cerita lama, namun kata Iwan, kalau hendak dibandingkan ketika dia berada di bawah pengurusan Astro, tidak banyak yang dia dapat suarakan untuk membina imejnya sebagai seorang artis.

“Setahun lebih saya diuruskan Astro, tapi jujurnya saya tak nampak hala tuju saya masa tu. Saya rasa seolah-olah saya tak diberi peluang untuk mencuba.

“Iyalah, dalam dunia hiburan, kita bukan hanya ada bidang nyanyian. Kita ada lakonan, pengacaraan dan sebagainya. Saya mahu cuba lakukan semua itu.

“Memanglah saya masuk dalam dunia hiburan sebagai penyanyi apatah lagi AF adalah platform untuk saya memperkenalkan diri kepada mata peminat.

“Tapi selain menyanyi saya mahu cuba benda lain. Mana tahu saya boleh kembangkan bakat dalam bidang lakonan dan pengacara bukan?

“Saya mengaku ada kekesalan dalam hati bila cakap hal ni. Tapi tak mengapalah. Sekarang saya dah boleh kendali aktiviti seni sendiri.

“Jadi lepas ni, saya akan berusaha rebut apa sahaja peluang yang terbentang depan mata,” katanya.

No comments:

Post a Comment