Saturday, October 1, 2011

Alyah sensitif bab kahwin


ISU perkahwinan menjadi topik utama bersama penyanyi yang semakin hit dengan lagu Kisah Cinta, Alyah pada pertemuan baru-baru ini.

Mahu mengupas kembali kenyataan yang dibuat Alyah menerusi laman sosial Twitter yang mengatakan dia bakal berkahwin tahun depan.

Menerusi kata-kata yang tertulis, Alyah sedang mengenal pasti tarikh spesifik untuk menyatukan hatinya bersama pasangan hati.

Bagaimanapun, tiada gambaran atau petunjuk diberikan mengenai kekasihnya dalam Twitternya itu.

Sebelum ini, Alyah pernah dikaitkan dengan seorang komposer terkenal tanah air, namun segera dinafikan.

Alasan diberikan, tiada hubungan istimewa sebaliknya hanya berkawan biasa.

Tup-tap tidak lama kemudian, Alyah membangkitkan isu perkahwinan yang sudah lama tenggelam.

Apa sebenarnya yang berada dalam benak fikiran Alyah tatkala menyentuh isu yang cukup sensitif buat wanita bujang sepertinya.

“Orang tua ada cakap, kata-kata yang kerap diucapkan umpama doa,” bicara awal Alyah membuka tirai peribadi berhubung soal jodohnya.


Anak kelahiran Gelang Patah, Johor ini mengakui mengikut petua salah seorang daripada rakannya untuk segera berkahwin.

Frasa “doa saya kahwin tahun depan” kerap diajukan sehingga impian tersebut terkabul dua tahun kemudian.

Mungkin ada yang merasakan perbuatan terbabit tidak diterima akal, namun bila Alyah fikirkan semula, keberkatan doa memang berhubung rapat dengan pesanan orang tua sebelum ini.

“Terus terang, isu kahwin ini sudah dibangkitkan sejak umur 26 tahun. Masa itu memang saya nak kahwin, tapi tak jadi. Saya ambil keputusan nak kahwin pun sebab saya dah angkat tangan dengan dunia nyanyian.

“Apatah lagi setelah cubaan menyertai kumpulan The Fabulous Cats dan pertandingan nyanyian One In A Million gagal. Tapi semuanya berubah apabila lagu Tak Mungkin Kerana 

Sayang menjadi hit dan menguburkan hasrat kahwin saya,” katanya tanpa berselindung.

Pemilik nama Nor Hasliyah Abu Hassan ini juga mengatakan bahawa cerita tentang perkahwinan itu meletus kemudian tatkala usianya mencecah 30, pada tahun ini.

Apabila ahli keluarga mula ‘bising’ dengan penambahan umur Alyah setiap tahun. Tambahan selepas tersebar cerita mengatakan Alyah bakal berkahwin pada November tahun ini.

Naib Johan Asia Bagus tahun 1998 ini hanya terdaya memberi penjelasan bahawa dia tak boleh memberi komitmen dikala urusan kerjanya belum selesai.

“Bukan senang nak sukses dalam bidang nyanyian tempatan. Saya perlu melalui banyak ranjau dan banyak air mata jatuh dalam siri kembara perjuangan seni ini.

“Saya tak nak kahwin kerana desakan pihak tertentu. Lambat pun tak apa, janji saya menikmati erti perkahwinan itu,” adu Alyah lagi.

Menebak persoalan sama ada wujud individu istimewa dalam hati peminat penyanyi Rihanna ini mengundang senyuman menawan. Katanya, dia cukup terbuka untuk berkongsi cerita soal hatinya secara umum tapi ada batasan tertentu.

“Saya ada berkawan dengan lelaki tertentu, tapi tidak ada yang istimewa lagi,” ringkas Alyah minta dimengerti.

Bagaimanapun, Alyah tidak keberatan untuk berkongsi cerita tentang kriteria suami idamannya.

Ibu angkat kepada kepada Mohd. Alif, 5, dan Naziatul Afiqah, 3, ini mengatakan dia menghargai lelaki yang sanggup menerima Alyah seadanya.

“Saya juga mendambakan lelaki bersifat pelindung,” sambungnya lagi.
Kemasyhuran berganda

Alyah mengakui bahawa dia tak takut andai populariti dirinya menurun jika dia mengikat tali perkahwinan. Baginya, penyokong industri sekarang sudah matang dan boleh membezakan antara persoalan peribadi atau kerjaya seseorang karyawan itu.

“Saya berdoa agar jodoh saya segera sampai serta ditemukan dengan pasangan yang diredai oleh-Nya. Saya juga meminta agar semua dapat mendoakan perkara yang sama buat saya.

“Itu lebih baik dari berterusan menanyakan kepada saya persoalan yang sama macam ‘Alyah, bila nak kahwin?’ atau ‘bila lagi nak merasa makan nasi minyak Alyah?’. Semua itu hanya akan terjawab satu masa nanti,” katanya penuh optimis.

Pada masa yang sama, Alyah menerima respons terbaik peminat terhadap imej dan karyanya. Masyarakat semakin yakin dengan dirinya. Secara rendah diri Alyah menafikan dirinya cepat leka dengan limpahan populariti yang ada.

“Saya adalah Alyah yang dahulu. Cuma bezanya tahap keyakinan bertambah tinggi bila mendapat sokonganberlipat kali ganda,” kata wanita ini pada hujung perbualan.

No comments:

Post a Comment