Tuesday, October 18, 2011

Hans Isaac Bela Anak Yatim?



Sebak GUA apabila mendapat khabar berita ini. Sewaktu GUA menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Tall Order Productions hujung minggu lalu, satu cerita telah disampaikan oleh sumber terdekat dengan syarikat produksi tersebut ke telinga GUA. Sewaktu khusyuk mendengar cerita yang disampaikan oleh sumber terdekat kepada pelakon dan pengarah tinggi lampai itu, terdetik perasaan sebak pada hati GUA.



Memang Hans ada merancang untuk mementaskan semula teater Lat The Musical pada tahun 2013. Memang jauh lagi tarikhnya, namun yang buat GUA sebak apabila produksi milik Hans itu berhasrat untuk menawarkan peluang kepada anak-anak yatim yang berada di rumah-rumah kebajikan sekitar Kuala Lumpur untuk terlibat sama dalam pementasan musim kedua teater muzikal yang diterajui oleh bintang rock terkenal, Awie.

Bagi yang telah menonton pastinya sedar akan wujudnya watak-watak kanak-kanak sewaktu Lat berada di kampungnya di Ipoh. Memang sesuai sekalilah apabila anak-anak golongan yang kurang bernasib baik ini diberikan peluang sedemikian. Sumber terdekat dengan Hans itu turut menyatakan besar hasratnya jika impian itu akan terlaksana. Setidak-tidaknya syarikat produksi yang pernah mementaskan Cuci The Musical dan Lat The Musical itu tidak mengenepikan golongan yang tidak bernasib baik.

Pihak syarikat produksi dikatakan akan pergi sendiri ke rumah-rumah anak yatim sekitar Kuala Lumpur untuk menguji bakat kanak-kanak yang ada di situ. "Mereka tidak perlu datang mencari kami, sebaliknya kami yang akan mencari mereka," itulah yang diluahkan kepada GUA. Begitulah luhurnya budi yang dicurahkan oleh tenaga di belakang tabir di syarikat produksi tersebut.

Dengan peluang yang diberikan ini, sekurang-kurangnya mereka akan dapat mencungkil bakat-bakat terpendam yang selama ini tidak begitu diberikan perhatian. Moga usaha pembelaan golongan yang kurang bernasib baik ini dapat dilanjutkan oleh syarikat-syarikat produksi yang memerlukan pelakon kanak-kanak di masa akan datang.

GUA sendiri pastinya akan menyokong usaha yang cuba dilaksanakan oleh Tall Order Productions ini kerana GUA melihat ada baiknya kepada industri seni tanahair. Anak-anak yatim yang memiliki bakat untuk digilap sebagai pelakon sekurang-kurangnya nampak sinar dalam masa depan perjalanan hidup mereka.

No comments:

Post a Comment