Tuesday, October 18, 2011

Prof Aziz Bari dipanggil polis, disiasat bawah Akta Hasutan



KUALA LUMPUR, 19 Okt — Profesor Dr Abdul Aziz Bari dipanggil untuk memberi kenyataan kepada polis berkaitan pandangan beliau tentang titah Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini.
Aziz (gambar) yang dihubungi memberitahu bahawa beliau telah dihubungi polis Shah Alam semalam dan diminta untuk hadir memberi kenyataan berhubung isu tersebut di bawah Akta Hasutan.
“Saya ada dipanggil polis semalam, mereka mahu menyiasat saya di bawah Akta Hasutan . . . saya akan pergi bersama peguam saya hari ini,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini kepadaThe Malaysian Insider.
Kelmarin beliau diambil kenyataan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia berhubung isu yang sama ekoran satu laporan yang telah dibuat Jumaat lalu.
Minggu lalu, beberapa pihak membuat laporan ke atas Aziz.

Antaranya, Senator Ezam Mohd Nor menggesa agar portal berita MalaysiaKini dan Aziz disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 atas alasan mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama.
“Aziz Bari telah berlaku biadap dan derhaka kepada Institusi Raja Melayu dengan menghasut orang ramai untuk membenci institusi Raja-raja Melayu.
“Kenyataan Aziz ini dikeluarkan oleh laman portal MalaysiaKini,” kata Ezam selepas membuat laporan polis di Shah Alam.
Katanya, Aziz dan MalaysiaKini menunjukkan sikap biadap, kurang ajar, dan melampaui batas yang dipercayainya perbuatan terancang dan mempunyai agenda jahat disebaliknya.
Aziz dipetik berkata tindakan Sultan Selangor untuk campur tangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.
Menurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.
Beberapa Ahli Parlimen juga membidas Aziz kerana kenyataannya ketika menyertai perbahasan di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Aziz yang dihubungi kemudian berkata, sesi soal siasat berjalan kira-kira sejam.
“Sesi berlangsung hampir sejam, 9 hingga 10 pagi. Dua orang pegawai ASP Amirul dan ASP Sani (mengambil keterangan). Saya sebagai suspek, berikutan laporan Ezam minggu lalu,” katanya.
Aziz menyifatkan kedua-dua polis yang merakamkan kenyataannya itu bertindak secara “profesional dan mesra.”
“Tetapi mereka profesional dan mesra. Ikut undang-undang sebagaimana dalam Kanun Acara Jenayah,” kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment