Tuesday, October 18, 2011

Farah AF2 : Rasa Halal mudahkan pelancong


ERLLAND Kok (dua dari kiri) dan Nurjannah Mohd. Salleh (empat dari kiri) bersama krew Rasa Halal yang menjalani penggambaran di Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini.



MATANG dalam melakukan tugasan dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada krew adalah antara faktor kenapa Farah Diana Anuar, 26, terus dikekalkan sebagai pengacara program Rasa Halal yang memasuki musim keenam.


Penulis yang turut berada di lokasi penggambaran bersama Farah Diana atau Farah Akademi Fantasia musim kedua (AF2) di Maesa Elephant Camp, Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini, dapat melihat cara penyanyi itu bekerja.

Farah tidak mengambil masa yang panjang atau melakukan rakaman berulang-ulang kali untuk satu syot kerana dia sudah tahu apa yang perlu diungkap di hadapan kamera.

Biarpun penulis skrip, Sheril Aida Ibrahim memberi skrip kepadanya di saat akhir kerana lokasi sering berubah, namun Farah pantas memahami dan menyampaikannya dengan mudah dan lancar.

Dari situ membuktikan yang Farah semakin cekap serta berkeyakinan ketika menyampaikan segala informasi yang dikumpul oleh penulis skrip dan sekali gus, tidak menyusahkan pengarah, Faizul Hisham.

Berdasarkan faktor itulah, penerbit program, Erlland Kok dari E-Style Sdn. Bhd., juga berpuas hati dengan hasil kerja Farah.

"Kita nampak perubahan Farah dari dulu hingga kini sewaktu mengacara. Waktu awal-awal program, banyak perkara yang perlu dibetulkan. Sekarang ini, cakap sahaja, Farah sudah tahu apa nak dibuat.

"Selain itu, Farah juga bukanlah artis yang bermasalah. Dia pandai membawa diri dan sering bertanya serta berkongsi idea dengan krew," katanya.

Menurut Erlland, musim ini Farah akan mengajak penonton menjelajah dan mencari makanan halal di sekitar Laos, Vietnam dan Chiang Mai, Thailand dengan judul Rasa Halal Thailand dan Rasa Halal Laos.


FARAH bersama Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar (dua dari kiri), Erland Kok dan Mohd. Fudail Ma (kanan), menunjukkan kaligrafi seni khat sempena pelancaran Rasa Halal Orient di Kuala Lumpur, baru-baru ini


Katanya, program yang bermula sejak 2008 itu telah melakukan penggambaran di Xian, Taiwan, Hong Kong, Kemboja dan Vietnam itu akan mula bersiaran untuk musim baru, di Saluran Oasis 106, setiap Selasa, 7.30 malam, mulai 6 Disember ini.


Sementara itu, Nurjannah Mohd. Salleh dari Bahagian Perolehan Astro Oasis yang turut bersama krew berkata, musim keenam program berkenaan turut disuntik kelainan.

Katanya, program berbentuk travelodge itu semakin digemari ramai dari masa ke semasa dan sebab itu jugalah, pengisian program tersebut sentiasa dikemas kini.

"Kalau dulu, program ini lebih memberi fokus pada masakan halal yang terdapat di negara luar. Sekarang ini, selain menampilkan menu masakan halal, turut ditonjolkan kebudayaan dan komuniti setempat.

"Sebenarnya tanpa disedari program ini sering dijadikan panduan oleh pelancong tempatan setiap kali mereka ke luar negara. Contohnya, apabila ditonjol tempat masakan halal, mudahlah untuk mereka mencari lokasi bila berada di negara berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment