Tuesday, October 18, 2011

Ella dedah kekasih baru 30 Oktober ini


SELEPAS lebih 20 tahun Ella masih belum
ada saingan dalam persada rock tanah air

ELLA antara penyanyi yang selalu digosipkan bercinta dengan ramai jejaka kacak. Kebanyakannya terdiri daripada nama-nama yang popular di negara ini sama ada golongan artis mahupun ahli sukan.


Sebagai contoh, penyanyi rock ini pernah digosipkan dengan pelakon Hans Isaac dan bekas pemain badminton perseorangan negara, Rashid Sidek. Sayangnya, semua gosip itu hanya tinggal gosip sehinggalah ke hari ini.

Bagaimanapun, selepas agak lama sepi tanpa cinta baru, rocker berusia 45 tahun ini semakin berseri-seri. Dia kini semakin ceria dan tidak berselindung lagi tentang pria yang dikatakan telah bertakhta di taman hatinya.

Menurut Ella, hatinya kini sudah dimiliki. Tetapi dia belum bersedia mendedahkan sepenuhnya identiti lelaki bertuah itu. Sebaliknya, kata anak kelahiran Klang, Selangor ini, biarpun perkara itu diketahui sendiri orang semua pihak.

"Biarlah wartawan atau peminat tahu sendiri kerana saya tidak mahu komen panjang. Kalau anda bernasib baik dia (kekasih) akan datang ke konsert Whitesnake di Stadium Merdeka , Kuala Lumpur, 30 Oktober ini.

"Itu pun kalau dia ada di sini (dalam negara) sewaktu konsert itu berlangsung. Cuma apa yang boleh saya cakap, dia orang biasa sahaja," ungkapnya selepas pelancaran konsert Whitesnake di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada Konsert Whitesnake World Tour 2011 Live In Kuala Lumpur yang mengenakan tiket RM358, RM258, RM158 dan RM98 itu Ella telah dipilih sebagai artis pembuka tirai sebelum kumpulan rock legenda itu beraksi.

Jelas Ella, pada konsert itu nanti dia akan menyanyikan enam buah lagu antaranya Impian
Dia juga akan diiringi oleh para pemuziknya sendiri termasuk Joe Wings selaku gitaris utama.

Dengan peluang yang diberi, Ella bukan sahaja teruja untuk mengadakan konsert berskala besar itu tetapi pada masa yang sama berbesar hati dengan tawaran tersebut.
Katanya, Whitesnake bukan nama yang asing baginya.

"Difahamkan nama saya dipilih sendiri oleh Whitesnake dan vokalis mereka iaitu David Coverdale untuk menjayakan konsert ini. Saya rasa risau dan gemuruh pun ada. Sewaktu sekolah rendah lagi saya sudah kenal Whitesnake.

"Abang saya adalah peminat kumpulan itu pada era tahun 1970-an dan 1980-an. Bagi saya, suara David Coverdale dahsyat sangat. Saya berasa teruja untuk menjayakan konsert ini.

"Malah, ramai peminat saya di Facebook termasuklah dari Indonesia bertanyakan tentang konsert ini. Mereka mahu beli tiket konsert itu lebih awal kerana tidak mahu ketinggalan menontonnya," ujarnya.

Jelas Ella, pada persembahannya selama 30 minit itu dia tidak menolak kemungkinan untuk berduet dengan David Coverdale jika ada pihak-pihak yang mahukannya berbuat demikian. Itu adalah suatu penghargaan buatnya.

Dia yang meminati lagu Whitesnake seperti Is This Love berkata, segala persiapan termasuklah latihan telah diadakan agar para peminat tidak kecewa dengan persembahannya.

"Ini bukan kali pertama saya mengadakan persembahan dengan artis antarabangsa. Saya pernah mengadakan persembahan bersama kumpulan Duran-Duran sewaktu berkunjung ke Los Angeles, Amerika Syarikat, pada tahun 1990-an.

"Bagaimanapun kalau di Malaysia, ini adalah kali pertama saya mengadakan persembahan dengan artis antarabangsa. Apa yang pasti saya akan menyanyikan kesemua lagu saya sendiri yang dalam bahasa Melayu," katanya.

No comments:

Post a Comment